Anak ugut tikam ibu

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara mendapatkan sejumlah wang tidak ditunaikan, seorang pemuda sanggup ugut mahu menikam ibu kandungnya dengan pisau, dalam kejadian di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus, pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.10 petang ketika suri rumah berusia 43 tahun itu sedang berehat di rumah sebelum dihampiri suspek, 23, meminta sejumlah wang.

Menurut sumber, mangsa yang sudah 'muak' dengan perangai suspek yang suka meminta wang mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan permintaan itu kali ini.

"Bagaimana tindakan mangsa yang hanya berdiam diri meskipun didesak beberapa kali mengundang amarah suspek sehingga hilang pertimbangan.

"Suspek mengambil sebilah pisau di dapur sebelum menghunuskan senjata itu ke arah mangsa dengan niat mengugut mahu mencederakan wanita itu seandainya masih berdegil tidak mahu menyerahkan wang," katanya hari ini.

Sumber berkata, mangsa mendakwa kejadian sama sering berlaku setiap kali hajat suspek tidak dipenuhi terutama berkaitan wang kerana dia mendakwa anaknya merupakan penagih tegar.

Susulan itu, bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Batu Rakit, Kuala Nerus pada hari sama kejadian iaitu pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.