Padah bakar kereta ibu tiri depan IPK

Tertuduh (kiri) dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dihukum.
Tertuduh (kiri) dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dihukum.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang tukang kebun membakar kereta milik ibu tiri di hadapan pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Januari lalu, mengundang padah apabila dihukum penjara dua tahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hukuman diputuskan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas tertuduh, Ramadzan Mohd Sail, 43, mengaku salah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 17 Januari 2019.

Tempoh penjara tersebut turut dipanjangkan selama enam bulan sekiranya denda tidak dijelaskan.

Tertuduh didakwa melakukan khianat hingga menyebabkan kerosakan harta benda iaitu sebuah kereta jenis Naza Bestari milik Narisah Abdul Majid, 59, di hadapan pintu masuk IPK Kelantan, di sini, pada jam 7.30 malam, 17 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Pendakwaan tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan, namun Mohamad Nuzul Azuar memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahannya yang mengganggu gugat kententeraman awam.

Artikel Berkaitan: