Program Khas Pengakuan Sukarela fasa pertama dilanjutkan

Lim Guan Eng - FOTO ZAHID IZZANI
Lim Guan Eng - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan akan melanjutkan tempoh Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) fasa pertama, dengan pengenaan kadar penalti 10 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan sehingga 30 Jun 2019.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dibuat setelah mesyuarat Kabinet bersetuju untuk melanjutkan masa, susulan sambutan menggalakkan daripada pembayar cukai.

Manakala itu katanya, fasa kedua PKPS dengan pengenaan kadar penalti 15 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan pula akan bermula pada 1 Julai 2019 dan tamat pada 30 September 2019.

"Sementara itu mulai 1 Oktober 2019, kadar penalti daripada 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan juga kesalahan kurang melaporkan cukai pendapatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Khas Pengakuan Sukarela sehingga 31 Mac 2019, telah menerima sejumlah 381,979 pengakuan sukarela.

PKPS memberikan fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi masih belum melaporkannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan berharap dengan pelanjutan tempoh yang diberikan ini, lebih ramai pembayar cukai akan menyertai PKPS bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti yang rendah dan seterusnya dapat mengurangkan bebanan cukai mereka.

"Pengakuan sukarela bagi pembayar cukai kategori individu boleh dibuat sehingga pendapatan tahun berakhir 31 Disember 2017, manakala bagi pembayar cukai kategori syarikat pula, pengakuan sukarela boleh dibuat bagi pendapatan sehingga tempoh perakaunan 31 Mac 2018," katanya.

Artikel Berkaitan: