Pengurusan industri buluh perlu diselaras: Zuraida

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Langkah agresif perlu diambil bagi menyelaraskan pengurusan industri buluh untuk meningkatkan promosi, pengkomersialan dan kemajuan sektor tersebut kerana ia boleh memberi sumbangan besar kepada pendapatan rakyat serta menjana ekonomi negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, nilai eksport produk buluh pada tahun 2021, meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada RM8.41 juta berbanding RM8.28 juta pada 2020, manakala nilai import berjumlah RM89.23 juta.

Namun begitu, katanya, nilai eksport buluh Malaysia itu adalah lebih rendah berbanding negara-negara lain dan kita masih lagi bergantung kepada pengimportan produk buluh dari China, Indonesia dan Vietnam walaupun negara mempunyai potensi yang tinggi dalam memajukan komoditi tersebut.

"Kemajuan industri buluh agak perlahan berbanding agrokomoditi yang lain.

"Tetapi masih tidak terlalu lewat untuk mengambil langkah agresif dari segi pengurusan penanaman buluh, mengkomersialkan produk buluh kerana pasaran dunia sudah mula menggunakan produk buluh sebagai alternatif kepada produk sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Buluh Malaysia 2022 di Auditorium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada Selasa.

Zuraida berkata, usaha bersepadu untuk mewujudkan ekosistem berstruktur, pengurusan peringkat estet atau pengurusan korporat untuk mempromosikan industri buluh perlu dibuat bagi memajukan industri tersebut.

"Industri buluh tempatan sangat kecil dan hanya mempunyai 567 penanam buluh tempatan yang terbabit secara langsung dalam industri di Malaysia, merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh dan kraftangan,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) akan terus memperkasa pembangunan industri buluh di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan," katanya.

Malaysia memiliki kira-kira 70 spesis buluh, yang mana 45 daripadanya merupakan spesis tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan manakala dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45 peratus di Sarawak dan 24 peratus didapati di Sabah. - Bernama