Polis rampas serbuk ekstasi 5kg

Ismail menunjukkan dadah serbuk ekstasi dalam pembungkusan menyerupai 'boarding pass'.
Ismail menunjukkan dadah serbuk ekstasi dalam pembungkusan menyerupai 'boarding pass'.
A
A
A

PASIR GUDANG - Taktik licik pembungkusan dadah jenis serbuk ekstasi dalam paket pewangi aromaterapi bagi mengelirukan pihak berkuasa tumpas apabila berjaya dirampas polis, Rabu lalu.

Selain dibungkus dalam paket pewangi aromaterapi yang terdapat dalam tiga warna berbeza itu, serbuk ekstasi dirampas turut dibungkus dalam paket menyerupai ‘boarding pass’ sebuah syarikat penerbangan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Ismail Dollah berkata, kesemua dadah disyaki jenis serbuk ekstasi seberat 5,117 gram (5.1 kilogram) bernilai RM13,400 yang dirampas itu ditemui dalam sebuah beg di bonet kereta dinaiki seorang lelaki.

“Sekitar jam 8.50 malam, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam menangkap seorang lelaki di tepi jalan di Taman Desa Harmoni.

“Semasa pemeriksaan kenderaan yang dinaiki suspek tersebut, kita telah berjaya membuat rampasan sejumlah dadah disyaki serbuk ekstasi selain menangkap lelaki berusia 30 tahun terbabit,” katanya pada sidang media di IPD Seri Alam di sini hari ini.

Ismail (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas.
Ismail (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas.

Ismail berkata, kebiasaannya bungkusan dadah seumpama itu digunakan dan dijual di pusat-pusat hiburan pada harga lebih kurang RM250 ke RM300.

“Serbuk ekstasi ini dimasukkan di dalam air suam kemudian digunakan untuk mereka yang berhibur di sana (pusat hiburan). Dipercayai bungkusan-bungkusan ini dijual di pusat hiburan sekitar Johor Bahru dan kawasan Seri Alam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Satu paket yang dimasukkan dalam air suam satu jag, boleh digunakan untuk seramai enam orang. Secara puratanya, jumlah yang boleh digunakan untuk 5 kilogram ini untuk 400 orang bagi satu kali kegunaan,” katanya.

Beliau berkata, saringan air kencing ke atas suspek mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamin, namun tiada sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM400 dan lelaki terbabit direman bermula Khamis lalu sehingga esok.

“Kalau tidak ada pertuduhan, kita mungkin sambung reman lagi. Kita masih lagi mengumpul risikan dan maklumat, mungkin selepas ini ada lagi beberapa tangkapan yang akan dibuat,” katanya.