X

Kindly register in order to view this article
!

Kenyataan Armada Selangor didakwa dangkal

NAJWAN
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyelar kenyataan Armada Selangor yang sebelum ini menyarankan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tidak menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ketuanya, Najwan Halimi berkata, kenyataan Armada tersebut bersifat dangkal dan tidak kena pada masanya berikutan Nurul Izzah sebelum ini telah menjelaskan pendirian beliau secara terperinci berhubung tindakannya melepaskan jawatan tersebut.

Najwan berkata, tindakan Nurul Izzah tersebut juga adalah bertujuan untuk mengekalkan neutraliti serta prinsip semak dan imbang yang menjadi teras utama jawatankuasa tersebut.

"Saya merujuk kenyataan Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah seperti dilapor media hari ini yang menyinggung Nurul Izzah tentang keanggotaan beliau dalam PAC.

"Sebagai pemimpin muda, adalah lebih wajar Adhif menumpukan usaha ke arah memperkukuh muafakat di antara Pemuda PH khususnya dalam gerak kerja kempen PRK Dun Rantau," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Armada Selangor dalam satu kenyataan menyarankan agar Nurul Izzah tidak lagi terlibat dalam PAC atau mana-mana jawatankuasa kerajaan susulan daripada kritikan beliau terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nurul Izzah sebelum ini melepaskan jawatan itu susulan pelantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC yang dianggap bertentangan dengan manifesto PRU14.

Namun begitu, beliau kembali menganggotai jawatankuasa tersebut selepas kerajaan melantik Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai pengerusi PAC.

Dalam pada itu, Najwan berkata, AMK Selangor turut menghormati pendirian dan menyambut baik keputusan Nurul Izzah untuk kembali menganggotai PAC.

"AMK Selangor menaruh keyakinan penuh akan kemampuan dan kewibawaan beliau dalam mengangkat agenda reformasi sebagai prinsip penting dalam jawatankuasa tersebut," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!