PTPTN 'berharga' walaupun dibebani hutang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bakal menghampiri detik setahun pemerintahannya bulan depan - tempoh yang sarat dengan pelbagai perkembangan serta isu yang perlu ditangani.

Walaupun tanggung jawab yang digalas itu tidak semudah dijangkakan, apa yang pasti tempoh itu turut membuktikan bahawa tidak semua manifesto bersifat populis itu dapat direalisasikan atau wajar demi manfaat negara.

Antara perkara yang menarik perhatian penulis adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau lebih sinonim sebagai PTPTN yang terbukti tidak lekang daripada isu membabitkannya.

Malah, tidak boleh dinafikan, pelbagai perkembangan atau keputusan yang membabitkan PTPTN berlaku disebabkan tiada kajian khusus atau mengetahui status kewangan sebenar agensi pemberi pinjaman itu .

PTPTN ditubuhkan pada 1997 dengan matlamat membantu penuntut membiayai pengajian ijazah sarjana muda masing-masing.

Pada awalnya, ia bermula dengan geran kerajaan walaupun kini ia menumpukan pasaran hutang bagi membiayai keperluan pendanaannya.

Sejak penubuhannya, PTPTN telah membantu membiayai lebih daripada 60 peratus atau tiga juta penuntut Malaysia meneruskan pengajian mereka, baik di institusi awam dan swasta dengan pengagihan sebanyak RM56 bilion setakat Februari 2019.

Ironinya, hampir dua dekad kemudian dan selepas terbukti berjaya membantu ramai, PTPTN yang terlalu berharga dan sarat dengan manfaat sebaliknya kini seakan memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

Setahun selepas tarikh 9 Mei, 2018, mereka yang berada dalam koridor kuasa perlu menyedari sekiranya dasar bayaran balik itu tidak ditangani sekarang, PTPTN berkemungkinan lumpuh dengan impaknya jauh lebih buruk berbanding kerugian dialami 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Malah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut mendedahkan bahawa jumlah hutang peminjam mungkir kepada PTPTN adalah hampir menyamai kerugian dialami 1MDB.

PTPTN misalnya kini berhutang RM40 bilion iaitu hutang yang dijamin kerajaan dan angka itu dijangka melonjak ke paras RM55 bilion dalam 10 tahun dan seterusnya RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Pasti ada yang bertanya - mengapa kerajaan perlu menjamin pinjaman PTPTN? Jawapannya - jika ada pihak yang sukar menunaikan bayaran itu, sudah pasti penjamin diperlukan sebagai sokongan.

Mengikut data, bayaran balik jumlah prinsipal PTPTN itu sahaja dalam sekitar RM3 bilion dan RM6 bilion setahun, bergantung kepada tempoh bayaran balik yang ditetapkan.

Dianggarkan seramai 616,000 peminjam mungkir atau 51 peratus daripada jumlah peminjam atau 'benefisiari' - bergantung kepada persepsi mereka yang melihatnya sebagai hutang atau kesempatan, mempunyai jumlah hutang tertunggak sebanyak RM3.5 bilion.

Lebih menyedihkan, daripada kalangan peminjam mungkir itu, seramai 356,000 orang tidak membayar walau sesen pun yang membabitkan sejumlah RM2.8 billion!

Bayaran faedah pula melebihi RM1.7 bilion setahun yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan yang meminjam daripada pasaran modal demi memastikan penuntut mempunyai akses pendidikan serta kemahiran.

Setakat ini, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM13.7 billon bagi melunaskan bayaran faedah pinjaman PTPTN tersebut.

Walaupun ada yang terbukti tidak mampu membayar balik, terutama yang masih menganggur, hakikatnya masih ramai yang tidak mengendahkan tanggung jawab hakiki itu atau mengambil kesempatan terhadap peluang yang diberikan.

“Langkah menarik balik sekatan perjalanan bagi peminjam mungkir ini seakan satu silap besar dan memberi kesan negatif kepada PTPTN," kata satu sumber rapat yang enggan dikenali.

PTPTN telah bertindak menyenaraihitam serta mengenakan sekatan perjalanan terhadap 1,016,254 peminjam dengan jumlah hutang tertunggak RM20.7 bilion yang mana 684,233 telah mula membayar hutang berjumlah RM2 bilion.

“Apabila sekatan itu ditarik balik, jumlah kutipan hutang itu susut secara mendadak dan memburukkan lagi keadaan kewangan PTPTN yang sememangnya terjejas. Malah, ini jelas membuktikan sikap peminjam yang mengambil kesempatan," katanya.

Selain itu, cadangan untuk membolehkan penangguhan bayaran balik sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000 juga dilihat akan hanya terus 'menjerut' PTPTN. Namun, mujurlah syor itu telah ditangguhkan untuk sementara waktu.

Sumber itu turut mendedahkan, tujuh daripada 10 peminjam berpendapatan kurang RM4,000 sebulan yang secara jelasnya mengurangkan kutipan tahunan PTPTN kepada RM950 juta berbanding kira-kira RM3 bilion setahun, sejak tiga tahun lepas.

Malah, bergantung kepada gaji permulaan siswazah terbabit, ia memerlukan sekurang-kurangnya tempoh minimum enam hingga 15 tahun sebelum mereka dapat mencapai gaji RM4,000 untuk mula membayar balik pinjaman tersebut.

Namun, realitinya, pada masa sama PTPTN masih perlu membayar pinjamannya sepanjang tempoh tersebut dan ditambah pula dengan obligasi menyalurkan pinjaman kepada penuntut baharu.

Pengiraannya mudah - bagi setiap RM7,000 yang berkurangan dalam aliran tunai, ini sekali gus menafikan akses seorang penuntut yang berpotensi mendapat kemudahan pinjaman pengajian.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) pada 2015 telah mengunjurkan bahawa pendaftaran penuntut akan mencecah 250,000 orang menjelang 2025.

Justeru, ketidakpadanan antara kekurangan ketara bayaran balik serta peningkatan obligasi kewangan berkemungkinan menyebabkan PTPTN lumpuh, sekali gus menafikan akses penuntut generasi masa depan mendapatkan pinjaman pendidikan yang berpatutan.

Sehubungan itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan tidak harus tunduk kepada tekanan untuk 'melepaskan' peminjam yang tidak amanah ini daripada tanggung jawab melunaskan hutang masing-masing.

Beliau sebaliknya perlu menumpukan usaha jangka panjang serta mampan bagi memastikan kutipan bayaran balik yang tertunggak itu terus dilakukan demi kelangsungan serta akses generasi depan terhadap kemudahan pembiayaan itu.

Kerajaan pula harus berani mengambil tindakan yang mungkin drastik namun wajar berikutan pentingnya peranan PTPTN, termasuk mengenal pasti langkah lebih baik bagi menangani kemelut itu.

Bagi peminjam mungkir dan culas PTPTN - di manakah tanggung jawab moral anda? -Bernama