Melaka Sentral semakin lancar

Beberapa kiosk layan diri yang disediakan bagi kemudahan pengguna membeli tiket bas di Melaka Sentral.
Beberapa kiosk layan diri yang disediakan bagi kemudahan pengguna membeli tiket bas di Melaka Sentral.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Sistem Tiket Berpusat (CTS) dan Sistem Operasi Terminal (TOS) yang diperkenalkan di Melaka Sentral, sejak bulan lalu diterima baik pengguna.

Biarpun pada awal pelaksanaan sistem berkenaan mendapat pelbagai rungutan, namun pihak pengurusan mengambil langkah proaktif menambah baik kekurangan berkenaan dan peka dengan setiap aduan serta teguran penggunanya.

Tinjauan mendapati, perlaksanaan sistem jualan berpusat itu bukan sekadar memudahkan orang ramai menggunakan khidmat kaunter, malah menawarkan perkhidmatan layan diri bagi mendapatkan tiket perjalanan bas tanpa perlu beratur panjang dan berhimpit.

Malah TOS dilihat lebih gemar digunakan golongan muda kerana ia begitu kondusif dengan sistem komputer yang disediakan di kaunter berkenaan.

Pengguna, Muhammad Mamin Latis, 19, berkata, pelaksanaan sistem itu memudahkan pengguna mengakses tiket dengan pantas malah kemudahan itu dapat digunakan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan TOS perlu ditingkatkan dengan meletakkan notis kaedah penggunaan berdekatan kaunter bagi memudahkan orang ramai mengetahui cara mengakses mesin elektronik.

"Kebanyakan warga emas akan menghadapi kesukaran apabila berdepan situasi ini. Jadi dengan meletakkan notis, mereka mampu mempelajari guna mesin kiosk yang sedia ada," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Nordin Buang, 58, berkata, warga emas perlu diberi penekanan terhadap penggunaan mesin tersebut dengan membimbing mereka menggunakannya.

Artikel Berkaitan:

Nordin berkata, dia tidak pernah didedahkan mengenai penggunaan mesin elektronik tersebut, malah berminat untuk mempelajari langkah penggunaan bagi memudahkannya membeli tiket bas ekspres.

"Setiap bulan, biasanya empat hingga lima kali saya akan ke Kuala Lumpur mahupun Perak. Jika diberi tunjuk ajar kepada pengguna yang berumur seperti saya, pasti akan memberi kesenangan kerana kebanyakan warga emas tidak didedahkan dengan teknologi elektronik," katanya.

Bagi pelancong luar negara, Thear Weinman, 78, pelaksanaan itu sangat mudah digunakan malah berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan kerana begitu efektif.

Dia begitu kagum dengan perlaksanaan teknologi tersebut menerusi perkhidmatan pengangkutan awam yang kondusif dan selesa kepada pelancong.

"TOS dilihat sangat sistematik dan memudahkan saya mendapatkan tiket untuk ke Johor bagi meneruskan percutian saya, selepas beberapa hari berada di negeri ini.

"Sistem ini banyak membantu saya dan sangat teruja apabila melihat teknologi yang digunakan beberapa negara lain digunakan di sini," katanya.