X

Kindly register in order to view this article
!

Kedai siap tapi tak boleh duduk

Chye Thei (empat, kanan) bersama Vidyananthan (dua, kiri) melihat bangunan kedai yang bermasalah di Pekan Kahang.
A
A

KLUANG - Seramai lapan peniaga di Pekan Kahang kecewa apabila bangunan kedai sudah siap dua tahun lalu, tetapi masih tidak dapat diduduki kerana tidak mendapat Sijil Kebenaran Menduduki kegagalan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Keadaan ini berlaku berikutan lima daripada 13 pemilik kedai usang di hadapan bangunan berkenaan enggan berpindah seterusnya menyebabkan pihak pemaju tidak boleh membina laluan masuk selain tidak dapat membuat penyambungan utiliti.

Wakil peniaga, Chye Thei, 70, berkata, dia bersama tujuh rakannya yang turut berniaga di kedai usang berkenaan bersetuju berpindah ke bangunan baharu yang terletak di belakang kedai lama mereka.

Katanya, mereka mendapat kelulusan membina bangunan baharu bagi menggantikan kedai-kedai lama itu pada 2012 daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sebelum kerja-kerja pembinaan siap sepenuhnya pada 2017.

“Namun, apabila bangunan ini sudah siap, lima daripada 13 peniaga ini tidak mahu berpindah kerana tapak ganti yang diberikan kepada mereka bukan di belakang kedai lama ini namun ke bahagian dalam Pekan Kahang.

“Akibat daripada itu, usaha untuk merobohkan rumah kedai lama ini tidak dapat dilakukan seterusnya bangunan baharu ini tidak dapat digunakan kerana tiada kemudahan asas serta tidak mendapat kelulusan untuk menduduki,” katanya.

Menurutnya, mereka mengeluarkan kos di antara RM200,000 hingga RM400,000 bagi setiap kedai mengikut ketinggian bangunan hasil daripada duit simpanan berniaga di kedai lama itu yang dibina sejak 1964.

Sementara itu, ADUN Kahang, R Vidyananthan yang turun padang meninjau permasalahan itu mendesak pihak berkaitan melakukan tindakan segera menangani masalah dihadapi peniaga.

“Kegagalan semua peniaga yang berniaga di kedai lama itu juga secara tidak langsung merencatkan kerja-kerja pembesaran Jalan Kluang-Mersing selain pembangunan di Pekan Kahang.

“Manakala peniaga juga disarankan untuk mematuhi arahan daripada mana-mana pihak berkaitan kerana ianya juga sebagai satu usaha untuk kebaikan bersama dan kalau boleh saya mahu masalah ini diselesaikan segera,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!