Hasil kerja tangan tembusi pasaran luar negara

Lotin bersama produk yang dihasilkan.
Lotin bersama produk yang dihasilkan.
A
A
A

UKIRAN seni yang teliti dan mengekalkan elemen tradisional Melayu menjadikan setiap produk dihasilkan anak jati Kuantan ini begitu disukai.

Hasil kerja tangan Muhammad Abdullah Lotin Mohd Amin, 34, bukan sahaja mendapat permintaan di negara ini namun sudah menerjah pasaran luar negara.

Anak kelahiran Bukit Kuantan ini menjadikan datuknya, Hassan Sidek sebagai idolanya.

"Ukiran kayu bukan sekadar dipahat untuk nampak cantik, sebaliknya setiap rincih mata pisau di atas isi kayu cengal itu bermaksud menyampaikan hajat tersirat,” katanya ketika ditemui di Serambi Teruntum.

Lotin mula mengikuti bidang mengukir sejak berusia tujuh tahun sebelum melanjutkan pelajaran dalam Sijil Kemahiran Seni Kraf Kayu di Institut Kraf Negara pada 2005.

Menurutnya, dia bermula dengan mengukir sarung pisau.

"Ini impian saya sejak di bangku sekolah lagi memang minat ukiran kayu dan keluarga saya sangat menyokong dengan apa yang saya cita-citakan.

“Saya belajar secara serius selama dua tahun dan berjaya mendapatkan sijil kemahiran itu. Kemudian pada 2008 saya ambil keputusan untuk bergiat secara lebih mendalam dengan membuka bengkel sendiri di rumah saya di Bukit Kuantan.

Artikel Berkaitan:

“Berbekalkan modal kecil saya mula menghasilkan pelbagai seni kraf Melayu tradisional seperti ukiran perabot, sarung pisau, mimbar masjid, tongkat mimbar, cokmar dan pelbagai kraftangan hingga saya mampu gajikan pekerja,” katanya.

Bapa dua cahaya mata itu berkata, ketenangan dan fokus pada seni ukiran adalah kunci penting dalam menyiapkan sesuatu tempahan kerana sebarang kesilapan akan menjejaskan seni dihasilkan.

Menurutnya, dia kini tidak menang tangan menerima tempahan termasuk dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Itali dan China.