Tak puas hati agihan wang jual tanah, suami isteri maut

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JERANTUT - Pergaduhan sepasang suami isteri warga emas berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dengan kesan tembakan dalam kejadian di Kampung Labu di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, lelaki berusia 73 tahun itu ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan tembakan di leher manakala isteri berusia 67 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jerantut.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki itu disyaki bertindak menembak isterinya selepas berlaku pergaduhan berpunca rasa tidak puas hati berhubung agihan wang jualan tanah sebelum dipercayai menembak diri sendiri.

Ujar beliau, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa lelaki ditemui meninggal dunia dalam keadaan terduduk bersama selaras senapang patah di bahagian belakang rumah.

"Mangsa wanita pula ditemui terbaring dalam keadaan sedar dengan kesan kecederaan di bahagian belakang rusuk di ruang dapur sebelum dihantar ke hospital dengan bantuan jiran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mazlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa mangsa yang juga pesara kerajaan itu daripada ketua kampung kira-kira jam 8.30 pagi.

"Mengikut keterangan saksi (jiran), mereka terdengar bunyi dua das tembakan disusuli dengan suara orang meminta tolong.

"Curiga dengan kejadian, saksi segera ke rumah mangsa dan mendapati wanita itu terbaring dalam keadaan cedera sambil meminta tolong," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati senapang patah yang ditemui memiliki lesen atas nama mangsa lelaki.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.