Tun M beri sokongan padu pada Streram

Streram
A
A

SEREMBAN - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan sokongan padu kepada calon PH bagi PRK DUN Rantau, Dr S.Streram.

Anwar yang juga Ketua Umum PH berkata, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH menyatakan demikian dalam pertemuan mereka semalam.

"Sama ada dia perlu hadir atau tidak (pada PRK DUN Rantau) saya akan bincang," katanya kepada pemberita selepas majlis santai bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Menjawab soalan pemberita mengenai sokongan yang diterima Dr Streram daripada komponen PH, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan bahawa semua parti komponen gabungan itu hadir memberikan komitmen masing-masing bagi memenangkan pakar bius itu.

"Yang lain semua datang, DAP, Bersatu, Amanah, PKR," katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Dr Streram, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu surirumah R. Malarvizhi serta bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen yang difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lepas, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia