Tol percuma sebulan mulai esok sempena pembukaan SUKE

Fadillah (tengah) bersama Iris (kiri) selepas melancarkan pembukaan Lebuhraya SUKE fasa pertama di lebuh raya tersebut pada malam Khamis. - Foto Bernama
Fadillah (tengah) bersama Iris (kiri) selepas melancarkan pembukaan Lebuhraya SUKE fasa pertama di lebuh raya tersebut pada malam Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tol percuma selama sebulan akan diberikan mulai tengah hari Jumaat sempena pembukaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) fasa pertama, yang mampu menjadi laluan alternatif utama di beberapa lokasi strategik seperti MRR2, Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, lebuh raya itu mampu mengurangkan kesesakan trafik di lokasi terbabit sehingga 36 peratus pada waktu puncak dan menjimatkan masa perjalanan kepada 25 minit berbanding 75 minit di laluan sedia ada.

"Kerajaan komited dalam menangani isu kepadatan trafik di ibu negara bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia yang bekerja dan tinggal di sekitar Lembah Klang menerusi manfaat perjalanan lebih singkat dan pengurangan kadar pelepasan karbon.

"Kesiapsiagaan dan pembukaan SUKE akan membawa impak signifikan terhadap usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menambah baik arus trafik khususnya untuk bahagian timur Kuala Lumpur," katanya ketika berucap pada pelancaran fasa pertama pembukaan Lebuhraya Bertingkat SUKE di Plaza Tol Bukit Teratai di sini pada Khamis.

Beliau berkata, lebuh raya itu turut mencatat pencapaian membanggakan apabila dua ciri uniknya berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records iaitu tanjakan ikonik helikodial pertama di negara ini dengan lingkaran dua tingkat dan Jejambat Galang Kekotak Bersegmen (SBG) tertinggi berukuran 56.4 meter dari paras tanah.

"Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya ini sama ada agensi kerajaan mahupun swasta. Pengguna yang bakal menggunakan laluan lebuh raya alternatif ini diharap mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memandu secara berhemah.

"Syarikat konsesi diingatkan agar mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan tahap perkhidmatan dan operasi yang terbaik diberikan kepada pengguna sambil mematuhi perjanjian konsesi," katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.

Pengerusi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Idris Kechot pula berkata, pembukaan Lebuhraya Bertingkat SUKE merupakan kejayaan besar pihaknya sebagai pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang sekali gus membawa limpahan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 248 kontraktor dan 10 perunding utama terlibat dalam pembinaan projek ini. Kira-kira 10,000 peluang pekerjaan disediakan merangkumi pelbagai peringkat dalam bidang pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak," katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial turut dijalankan sepanjang pembinaan lebuh raya itu untuk membantu dan memberi kelegaan kepada penduduk setempat antaranya penambahbaikan Jalan Hulu Langat dan sebahagian jalan MRR2, pelebaran Jalan Ampang serta pembinaan semula Kuarters dan Balai Polis Trafik IPD Ampang Jaya.

Dalam pada itu, Prolintas dalam kenyataannya memaklumkan pembinaan jajaran sepanjang 7.8 kilometer membabitkan Plaza Tol Alam Damai serta tiga lagi persimpangan yang masih berjalan dijangka selesai pada suku pertama tahun 2023 dan konsensi Lebuhraya SUKE yang bermula pada 25 Disember 2014 akan berakhir pada 24 Disember 2069.

Lebuhraya SUKE menghubungkan beberapa rangkaian lebuh raya di Lembah Klang seperti Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), MRR2, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Timur Lembah Klang (EKVE) yang masih dalam pembinaan pada masa akan datang. - Bernama