Tak ada niat ambil alih kerajaan Sabah

 Sebahagian anggota Bersatu Sabah yang hadir pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah di Pusat Komersil Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang hari ini. - Foto Bernama
Sebahagian anggota Bersatu Sabah yang hadir pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah di Pusat Komersil Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PENAMPANG - Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah bukan untuk mengambil alih kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu berkata sebaliknya, keputusan menubuhkan Bersatu di Sabah akan memberi sokongan penuh kepada Warisan biarpun parti itu bukan dalam gabungan PH.

"Kita membantu kerajaan Sabah walaupun Bersatu ada jumlah sokongan besar (di Sabah) dan bukanlah niat kita gulingkan kerajaan negeri Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu secara rasmi bertapak di Sabah

"Niat kita supaya Bersatu di Sabah ini menjadi lebih besar dan membantu kerajaan pusat dan negeri supaya kita punyai kerajaan yang kukuh dan kuat," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Bersatu Sabah di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir berkata Bersatu juga tiada hasrat untuk mendapatkan jawatan dalam Kabinet Negeri Sabah.

Perdana Menteri berkata biarpun Warisan bukan dalam gabungan PH tetapi wakil daripada parti itu diberi jawatan dalam Kabinet Persekutuan dengan pelantikan sebagai menteri dan dua timbalan menteri.

"Kami bekerjasama rapat dan tiada masalah. Tadi ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu saya ada berjumpa dengan (Datuk Seri) Mohd Shafie Apdal (Ketua Menteri Sabah dan Presiden Warisan)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu berucap pada majlis itu, Dr Mahathir berkata, keputusan menubuhkan Bersatu di Sabah dibuat selepas mendapat permintaan daripada pemimpin Sabah yang keluar daripada parti mereka, termasuk UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas.

Katanya, sebab itu apabila Bersatu dikembangkan di Sabah, ia mendapat sokongan penduduk negeri itu yang mahu melihat Sabah membangun.

"Amat jelas hari ini (pelancaran Bersatu) ramai rakyat Sabah nyatakan hasrat sertai Bersatu kerana mereka ingin bergerak dalam politik dalam menentukan nasib mereka," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan ahli Bersatu di Sabah bahawa penyertaan mereka dalam Bersatu bukan untuk kayakan diri, sebaliknya untuk kayakan negara seterusnya dinikmati rakyat. "Tiada tempat di Bersatu untuk kayakan individu dan jika ada, akan disingkirkan. Hanya yang jujur untuk memberi sumbangan membangunkan negara dan membela rakyat akan dikekalkan," katanya.

Dr Mahathir menegaskan ia selari dengan komitmen kerajaan menghapuskan rasuah di semua peringkat dalam memastikan negara membangunkan dengan pesat.

Pada 15 Mac lepas, lapan bekas pemimpin UMNO Sabah termasuk enam wakil rakyat menyertai Bersatu dan menerima kad keahlian mereka daripada Dr Mahathir di Putrajaya.

Enam wakil rakyat bebas berkenaan ialah Anggota Parlimen Kudat Datuk Abd Rahim Bakri, Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Hajiji Noor (Anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman (ADUN) dan Datuk Masidi Manjun (Karanaan).

Selain mereka, turut menyertai Bersatu ialah dua lagi Senator iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose. - Bernama