Bajet 2023: PKR kemuka 12 cadangan

Wong Chen
Wong Chen
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan 12 cadangan untuk dipertimbangkan dalam pembentangan Bajet 2023 yang akan datang.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, cadangan tersebut dibentangkan dalam satu mesyuarat bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan wakil PKR melibatkan beliau, Nurul Izzah Anwar dan Fuziah Salleh.

Ujar beliau, pada akhir mesyuarat, kesemua pihak bersetuju untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu lagi mesyuarat sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini.

“Kami meminta kerajaan supaya mempertimbangkan kesemua cadangan dasar kami dan merangka peruntukan bajet bagi dasar-dasar tersebut dalam mesyuarat akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Chen berkata, antara saranan yang dikemukakan itu adalah meliputi usaha mempercepat kelulusan permit pekerja asing untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (IKS) dan majikan pulih daripada pandemik.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menangani masalah ketidakjaminan makanan (food insecurity) dengan memperkasakan petani dan nelayan, dan menambah baik logistik rantaian bekalan.

Tambahnya, cadangan lain adalah menangani isu kehilangan pembelajaran semasa pandemik oleh pelajar di negara ini.

“Membantu industri pelancongan dengan pekerja dan modal, kerana industri ini boleh menjadi sumber pendapatan yang baik untuk membantu mempertahankan mata wang kita.

Artikel Berkaitan:

“Menjadi lebih mesra kepada penduduk asing yang membawa masuk modal, kemahiran dan penggunaan ekonomi yang sangat diperlukan," katanya.

Di samping itu, menurut Chen, kerajaan perlu memperuntukkan bajet dan membuat persiapan bagi meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen dan memindahkan Kumpulan Wang Pembangunan Kawasan Parlimen (CDF) daripada Pejabat Perdana Menteri kepada Parlimen.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menambah baik Belanjawan Responsif Gender dan memastikan kementerian-kementerian mematuhi cara pelaporan.

“Selain itu, memastikan pelancaran penuh vaksin HPV untuk kanak-kanak perempuan di semua sekolah.

“Menggalakkan lagi pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di semua peringkat kerajaan.

“Merancakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menangani masalah pengangguran yang telah berlarutan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan disaran supaya bersiap sedia bagi menghadapi banjir dan memperuntukkan dana untuk usaha menyelamat dan pemberian bantuan.

“Memperuntukkan bajet yang mencukupi untuk memantau perubahan iklim dengan bagus dan bersiap sedia untuk perdagangan karbon (carbon trading),” jelasnya.