Naluri keluarga merasakan Acap masih selamat

No Image Caption
A
A
A

GOPENG - "Naluri keluarga masih merasakan Ashraf selamat setakat ini", demikian luahan harapan Siti Norizan Hassan, 36, kakak sulung kepada peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 Mohammad Ashraf, 29, atau lebih dikenali sebagai Acap, yang hilang sejak bulan lepas.

Beliau berkata berdasarkan kepada ilmu dalam bidang perubatan dan pendakian yang dimiliki anak kelima daripada tujuh beradik itu semasa bersekolah, kemungkinan Ashraf masih boleh bertahan.

"Kami harap sangat dapat jumpa Ashraf dalam keadaan selamat. Kami harapkan doa rakyat Malaysia, (doa) keluarga diberi ketabahan dalam menghadapi dugaan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak perkhemahan Gua Tempurung di sini hari ini.

Siti Norizan berkata, sejak kehilangan Ashraf pada 23 Mac lalu hingga hari ke-15 hari ini, beliau dan keluarga tidak putus-putus menyertai operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh badan beruniform manakala ibunya Siti Maznah Khamis, 62, juga melakukan solat hajat.

"Mak buat solat hajat atas permintaan beberapa pihak. Setakat ini emosi mak stabil, cumanya mak saya tidak boleh jumpa orang dalam masa terdekat, dia perlukan ruang untuk bagi emosi jadi stabil manakala adik beradik alhamdulillah emosi ok, masih lagi boleh berfikir dengan waras," katanya.

Dalam pada itu, Siti Norizan menafikan dakwaan netizen yang menyatakan keluarganya sombong kerana tidak mahu berjumpa dengan beberapa pihak.

"Kami memerlukan ruang untuk berjumpa dengan yang lain, tidak boleh jumpa terlalu ramai orang dalam satu masa sebab emosi mak berada dalam keadaan lemah, kesihatan mak yang tak memberangsangkan.

"Kami perlukan sedikit ruang, mungkin kita boleh selesaikan satu persatu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Ashraf berasal dari Muar, Johor menyertai GUT 2019 bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer 23 Mac lepas dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama.

Kehilangannya disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan, yang kemudiannya membuat laporan polis.- Bernama