Jangan bergantung harap selain ALLAH

Gambar kecil: Tan Sri Harussani Zakaria
Gambar kecil: Tan Sri Harussani Zakaria
A
A
A

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan orang ramai agar tidak meletakkan harapan tinggi dengan kaedah-kaedah pengamal perubatan Islam melebihi kebergantungan kepada ALLAH SWT.

Beliau berkata, pergantungan terhadap satu-satu perkara itu hanya boleh diletakkan kepada ALLAH SWT dengan menjadikan usaha-usaha sedemikian sebagai ikhtiar.

Menurutnya, mengambil contoh, kehadiran pengamal perubatan Islam termasuklah bomoh dari serata negeri dalam misi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu, boleh disifatkan ikhtiar berdasarkan kepakaran masing-masing.

"Dalam hal ini, kita mesti bantu mencari Ashraf yang dikatakan hilang dalam hutan, tempat-tempat begitu mungkin ada peranan makhluk halus, boleh jadi dia disorokkan atau bagaimana.

"Jadi mohonlah bantuan pada orang-orang yang punya kebolehan berhubungan dengan makhluk halus itu, tetapi selama mana kita minta bantuan, jangan berharapkan kepada mereka, hanya berikhtiar menerusi ilmu yang mereka ada, kita bergantung kepada ALLAH SWT," katanya ketika dihubungi, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Ashraf: Ritual pelik undang kegusaran penduduk

Kehilangan Ashraf: Jangan sampai jadi kes kehilangan lain

Beliau berkata, dalam meletakkan kebergantungan kepada ALLAH SWT, ikhtiar juga perlu dilakukan dengan cara dan kepakaran yang betul.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada orang jatuh sungai misalnya, kita tetapkan kepercayaan kepada ALLAH SWT, tapi dalam masa sama kena juga terjun untuk menyelamatkannya dan orang yang terjun itu kenalah cari yang pandai berenang supaya tidak lemas bersama," katanya.

Justeru katanya, bukanlah sesuatu yang pelik, apabila segelintir daripada kumpulan pengamal itu hadir dengan membawa pakaian dan peralatan yang pelbagai.

"Masing-masing punya ilmu, mungkin mereka rasa semua itu alat perhubungannya dengan makhluk halus, saya pun tidak pasti kerana ilmu itu tiada pada saya," katanya.