Bersatu secara rasmi bertapak di Sabah

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) melancarkan melancarkan parti Bersatu Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A

PENAMPANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini melakar sejarah baharu dalam arena politik Sabah apabila parti berkenaan secara rasmi bertapak sekali gus melebarkan sayap ke negeri bawah bayu itu.

Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri di hadapan kira-kira 30,000 penyokong Bersatu Sabah yang hadir sejak tengah hari tadi bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang, di sini.

Turut hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Pelancaran Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor dan Timbalannya Datuk Masidi Manjun.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Pakatan Harapan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew merangkap Pengerusi PKR Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Haris Salleh dan Tan Sri Chong Kah Kiat turut hadir menyaksikan majlis pelancaran Bersatu Sabah.

Selepas berucap, Dr Mahathir kemudian menyerahkan kad keanggotaan Bersatu kepada tujuh Ahli Yang Berhormat dari Sabah iaitu Adun Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Adun Usukan, Datuk Japlin Akin. Turut menerima kad keanggotaan Bersatu ialah Adun Klias Datuk Isnin Aliasnih, Adun Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Adun Nabawan, Datuk Bobbey Suan dan Adun Lumadan Matbali Musah.

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan penyerahan borang keanggotaan Bersatu Sabah selain penyampaian surat kebenaran penubuhan 25 penaja bahagian Bersatu Sabah.

Setakat ini, sebanyak 120,076 borang keanggotaan Bersatu Sabah diserahkan oleh Hajiji selaku Penyelaras Bersatu Sabah kepada Tun Dr Mahathir. - Bernama