PH terpaksa buat keputusan tidak popular

Mahfuz (kanan) mendengar perkongsian penduduk Kampung Padang Kunyit yang terjejas ribut pada Rabu dan Khamis lalu.
Mahfuz (kanan) mendengar perkongsian penduduk Kampung Padang Kunyit yang terjejas ribut pada Rabu dan Khamis lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan PH terpaksa membuat keputusan tidak popular dengan mengumumkan hibah 1.25 peratus yang merupakan kadar agihan paling rendah dalam sejarah demi menyelamatkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, setiap yang sedang berlaku kini adalah musibah dan kerajaan perlu bertindak untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi TH.

Menurutnya, secara peribadi beliau mengakui bahawa keputusan yang dibuat itu memang tidak popular di saat mereka bakal berdepan PRK Rantau pada 13 April ini.

"Di saat PRK Rantau, jika kerajaan mementingkan populariti, sudah tentu umum hibah 6 hingga 7 peratus. Tetapi kita bersedia jika ada yang kata ini menjadi punca kekalahan di Rantau asalkan TH dapat diselamatkan.

"Yang penting sekarang ini selamatkan TH. Kami terpaksa mengambil keputusan yang tidak popular ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga dalam Parlimen Pokok Sena di Kampung Padang Kunyit yang terjejas berikutan kejadian ribut pada Rabu dan Khamis lalu

Jelas Mahfuz, kerajaan perlu memberitahu punca kemerosotan pemberian hibah tersebut oleh TH kepada semua rakyat dan pendepositnya.

"Kita menyalahkan orang lain tetapi mencari jalan penyelesaian. Dalam kes TH ini, kita kena beritahu punca kemerosotan hibah itu disebabkan oleh masalah yang lalu tetapi tunjukkan apa penyelesaiannya dan perkara ini mesti diterima oleh semua orang," katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mengulas sikap pemimpin kerajaan dahulu yang tidak mengakui kesalahan dan salah guna kuasa semasa menguruskan TH.

Artikel Berkaitan:

"Sememangnya kerajaan dahulu tidak akan mengaku salah tapi hakikatnya mereka tidak boleh lari dengan salah urus tadbir yang telah dilakukan oleh mereka," katanya.