Warga Singapura maut, motosikal rempuh belakang lori

Keadaan lori berkenaan selepas dirempuh mangsa
Keadaan lori berkenaan selepas dirempuh mangsa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penunggang motosikal maut, selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan di KM 7.7 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari tadi, mangsa warganegara Singapura itu disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kemalangan disyaki berpunca apabila mangsa berusia 50 tahun itu melanggar sebuah lori satu tan yang sedang rosak.

"Ketika kejadian mangsa seorang diri menunggang motosikalnya dari arah Kota Tinggi menghala ke pusat bandar, mangsa kemudiannya dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori.

"Lori berkenaan dilaporkan berhenti di lorong kiri laluan sama dengan mangsa kerana rosak di bahagian tayar," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Shahurinain berkata, hasil siasatan awal, ketika kejadian lori terbabit juga telah meletakkan tanda segi tiga untuk meminta pemandu lain berhati-hati.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk menjalani proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: