Kerajaan Selangor berisiko disaman RM1 bilion

Dari kiri: Suhaimi, Amirudin dan Mansor pada Majlis Pelancaran 'Coffee Table Book' di One Utama pada Selasa.
Dari kiri: Suhaimi, Amirudin dan Mansor pada Majlis Pelancaran 'Coffee Table Book' di One Utama pada Selasa.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan Selangor berisiko berdepan saman berjumlah RM1 bilion daripada syarikat pemaju sekiranya tidak meneruskan siar warta status Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dinyahwartakan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan Selangor berisiko menanggung akibat berdasarkan perjanjian yang didakwa telah dibuat kerajaan negeri terdahulu iaitu BN terhadap siar warta berkenaan.

Sehubungan itu menurut beliau, kerajaan negeri terdahulu termasuk bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo perlu mengambil tanggungjawab dan tidak lepas tangan dengan sewenang-wenangnya termasuk menyalahkan pentadbiran semasa.

"Saman yang disebabkan oleh perjanjian dia (kerajaan negeri terdahulu), kena tengok cermin tuduhan itu.

"Akibat perjanjian terhadap keputusan (kerajaan negeri terdahulu), kerajaan negeri terdedah sampai RM1 bilion (saman) disebabkan rampasan tanah yang dilaksanakan pada 2008.



"Beliau (Mohamad Khir) tidak boleh melepaskan tanggungjawab. Beliau perlu bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Coffee Table Book' bertajuk 'Menelusuri Kisah Air Selangor' yang diterbitkan sempena ulang tahun ketiga penubuhan Air Selangor di One Utama di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri meneruskan siar warta untuk penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah pada 5 Mei lalu bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar 2006.

Pada Isnin , sebuah portal berita melaporkan bahawa Mohamad Khir kecewa dengan tindakan pentadbiran Amirudin yang dilihat cuba lepas tangan daripada tanggungjawab di sebalik kontroversi pembangunan Bukit Cherakah, meskipun mempunyai kuasa untuk menghentikannya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat alam sekitar bagi menangani kesan akibat perubahan iklim dan pemanasan global terhadap kawasan pantai di Selangor.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun menurut beliau, keputusan mengenainya akan dimuktamadkan selepas data melalui kajian dilaksanakan institusi dari Jepun iaitu Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan agensi berkaitan diperoleh seawal-awalnya hujung tahun berhubung perkara terbabit.

"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya isytihar tanpa ada data atau kajian dilakukan pakar, hanya selepas itu kita akan fokus kepada bagaimana untuk menangani dan mengawal peningkatan paras air di kawasan pantai dan laut di Selangor," katanya.