Pembeli kesal rumah PR1MA terbengkalai

Pembeli kesal kerana projek PR1MA Rantau masih belum siap sehingga kini. -Foto Sinar Harian
Pembeli kesal kerana projek PR1MA Rantau masih belum siap sehingga kini. -Foto Sinar Harian
A
A
A

SEREMBAN - Pembeli-pembeli rumah bagi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Rantau kesal kerana projek yang sepatutnya siap 31 Januari lalu masih terbengkalai sehingga kini.

Salah seorang pembeli, Azezam Shah Zambri, 35, mendakwa, pihak pemaju langsung tidak menyatakan sebarang sebab di atas kelewatan itu.

"Pada Disember lalu, kami ada nampak papan tanda menyatakan PR1MA tidak membuat bayaran kepada kontraktor. Dari situlah pembeli mula sedar yang projek ini bermasalah.

"Selepas itu, PR1MA menyatakan mahu membuat perjumpaan dengan pembeli pada Mac lalu tapi tidak dilaksanakan. Malah, PR1MA langsung tidak memberi maklum balas kepada surat dan e-mel kami," katanya ketika membuat aduan kepada media di hadapan projek PR1MA Rantau di Bandar Ekar di sini, hari ini.

Katanya, kebanyakan perjanjian jual beli (S&P) yang ditandatangani sudah tamat tempoh.

"Projek ini mula pada 2016 dan ada kalangan kami dah tamat tempoh S&P di mana dinyatakan Januari 2019 patut siap," katanya.

Menurut beliau, ada pembeli yang terbeban kerana sudah mula membayar ansuran pinjaman antara RM1,100 hingga RM1,300 kepada bank walaupun rumah belum siap.

"Sekarang kami terpaksa tanggung ansuran rumah berkenaan dan dalam masa sama perlu membayar rumah sewa. Sudah tentu kami rasa terbeban kerana ia melibatkan kewangan kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azrezam juga mendakwa mereka telah membuat aduan kepada bekas Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan tetapi jawapannya mengecewakan.

"Jawapan beliau lebih berunsur politik. Kalau boleh kami nak jawapan yang betul-betul kukuh daripada pihak bertanggungjawab," katanya.

Sinar Harian akan cuba mendapatkan maklum balas daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin yang akan menghadiri sebuah program di Rantau petang ini.