Hibah 1.25 peratus, kenapa salahkan BN?

Datuk Suraya Yaacob
Datuk Suraya Yaacob
A
A
A

ALOR SETAR - Alasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bahawa masalah yang dihadapi oleh Tabung Haji (TH) sekarang sehingga terpaksa memberikan hibah serendah 1.25 peratus disebabkan urus tadbir lemah pentadbiran yang lama sukar diterima.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, TH di bawah urus tabir BN tidak pernah merekodkan kerugian di mana-mana tahun kewangannya.

Menurutnya, pada tahun 2013 sehingga 2017 sahaja, Tabung Haji mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM15.047 bilion.

"Mungkin ada kerugian di beberapa pelaburan, akan tetapi, keuntungan daripada portfolio pelaburan TH mengatasi kerugian, lantas membolehkan TH mencatatkan keuntungan bersih.

Mengapa bangkitkan beberapa pelaburan gagal jutaan ringgit tanpa juga menyatakan keuntungan RM15.047 bilion sepanjang tempoh 2013-2017?," katanya.

Suraya berkata demikian ketika mengulas agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 kepada semua pendeposit sebanyak 1.25 peratus yang merupakan kadar paling rendah dalam sejarah Tabung Haji.

ARTIKEL BERKAITAN: Hibah TH pada kadar 1.25 peratus

Mujahid dalam reaksinya semalam berkata, peruntukan itu diputuskan akibat kelemahan dan salah guna kuasa oleh kerajaan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Suraya lagi, apa yang berlaku pada 2018 ialah susut nilai aset saham yang bukan sahaja melibatkan TH sahaja bahkan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Berhad (ASB), Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga mengalami susut nilai aset.

"Suruhanjaya Ekuiti menganggarkan RM200 bilion keluar daripada pasaran Malaysia dan pelabur asing menarik keluar pelaburan mereka sebaik selepas PRU14, dan Bloomberg menggelarkan situasi itu sebagai 'Mahathir's slump',"katanya.

Tambah Suraya, dalam perkara ini kerajaan yang sepatutnya menjawab mengapa prestasi pasaran saham begitu lemah dan merugikan GLC, GLIC, seperti Tabung Haji, PNB, Khazanah, KWSP dan lain-lain.