Pemegang UEC layak sambung pengajian dalam TVET

M Kula Segaran
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) layak untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Beliau berkata bagaimanapun, mereka perlu menjalani Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

Kula Segaran berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM4 bilion setahun dalam bidang berkenaan dalam usaha menarik lebih ramai lulusan sekolah menyertai TVET.

"Kita mahu lebih ramai pelajar untuk lanjutkan pengajian dalam bidang TVET. Kita nak buatkan ia lebih mudah tanpa mengira mereka (pelajar) ada kelayakan dalam UEC, dari SJK(C) atau SJK(T), mereka boleh sertai TVET.

"Kita perlu lebih ramai golongan muda menyertai TVET kerana kita tidak mahu mereka ketinggalan sekiranya tidak mempunyai kelulusan akademik yang baik. Bagaimanapun, mereka perlu menjalani Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian dalam bidang TVET ini," katanya.

Kula Segaran berkata demikian pada sidang media sempena Sesi Dialog Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Cawangan Perak anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di Institut Latihan Perindustrian (ILP), hari ini.

Sementara itu, Kula Segaran turut bercadang untuk untuk menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli di negara ini menyertai bidang TVET.

Katanya, perkara berkenaan dilihat bersesuaian terutamanya bagi mereka (Orang Asli) yang tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk menyertai TVET.

"Mengapa tidak kita beri peluang kepada Orang Asli mengikuti kursus-kursus kemahiran, kita beri sedikit kelonggaran. Asalkan mereka boleh menulis dan memahami sesuatu perkara berkaitan sudah cukup untuk mereka menyertai TVET," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia