RISDA agih RM67 juta dividen TSK

A
A
A

Mohd Salim (enam dari kiri) bersama pemilik kebun yang menerima dividen TSK pada Isnin.
Mohd Salim (enam dari kiri) bersama pemilik kebun yang menerima dividen TSK pada Isnin.



JEMPOL - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengagihkan RM67 juta sebagai dividen Tanam Semula Komersial (TSK) kepada 13,075 pekebun kecil sawit RISDA untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, secara purata penerima dividen memperoleh RM632 hingga RM1,000 bagi tempoh berkenaan melibatkan keluasan tanah lebih kurang satu hektar setiap seorang.

"Melalui TSK pengurusan kebun milik pekebun kecil akan lebih terjaga dengan adanya sistem pengurusan yang cekap. Setiap pemilik kebun di bawah program ini akan menerima dividen hasil daripada pengurusan tersebut.

"Dividen TSK adalah keuntungan daripada hasil projek kebun yang diuruskan oleh RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) selaku ejen pelaksana yang menguruskan kebun-kebun secara sistematik dengan menghasilkan pulangan dividen yang berpatutan," katanya selepas Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Penyampaian Dividen TSK Daerah Jempol di Dewan D'Zahra Jempol pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif RISDA Plantation Sdn Bhd Mohamad Arif Ismail.

Mengulas lanjut, Mohd Salim berkata, nilai dividen tersebut bagi TSK Kampung Jambu Lapan dan TSK Kampung Bukit Tempurung di daerah Jempol bernilai RM253,488.17 melibatkan pengagihan dividen kepada 53 orang pemilik kebun dengan keluasan 36 hektar.

Mohd Salim ( empat dati kiri) ketika menyampaikan dividen TSK kepada penerima.
Mohd Salim ( empat dati kiri) ketika menyampaikan dividen TSK kepada penerima.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, RISDA memperuntukkan sebanyak RM508.02 juta melibatkan pelbagai inisiatif dan bantuan kepada lebih 500,000 pekebun kecil yang terjejas akibat penurunan harga getah ketika ini.

"Antara inisiatif berkenaan adalah pembangunan komoditi getah meliputi bantuan tanam semula getah, bantuan angkutan kawasan pedalaman dan khidmat pengembangan.

"Selain itu, terdapat inisiatif di bawah produktiviti dan pemasaran, dana khas untuk bantuan musim tengkujuh (BMT) pada tahun 2022 dan keusahawanan dan agromakanan," ujarnya.

RISDA juga telah merancang dan menetapkan pelan tindakan baharu Program Pembangunan Hasil Baharu Agromakanan RISDA yang lebih berkesan bagi memperbaiki taraf sosioekonomi pekebun kecil melalui tiga bidang utama iaitu tanaman jangka pendek, tanaman jangka panjang dan ternakan.

"RISDA telah memberi kelulusan dua projek agromakanan di daerah Jempol bernilai RM100,000 di mana ia melibatkan kelulusan RM50,000 bagi setiap projek," ujar Mohd Salim.