Pas sambut baik keputusan PM tarik balik Statut Rom

Datuk Hashim Jasin
Datuk Hashim Jasin
A
A
A

KOTA BHARU - Pas menyambut baik tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata langkah itu merupakan satu tindakan baik yang akan menguntungkan Islam dan Pas sentiasa memegang prinsip untuk bersama dalam perkara yang membawa kebaikan.

"Kita memang sambut baik sesuatu yang menguntungkan Islam... kita akan bersama (dengan Dr Mahathir).

"Kaedah kita mudah (iaitu) bertolong-tolonglah kamu dalam kerja yang membawa kepada kebajikan dan pahala. Jadi apa sahaja yang membawa ke arah itu kita buat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali Ke-52 yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan di sini, hari ini. Hashim berkata setakat ini Pas melihat Tun Dr Mahathir seorang yang mementingkan Islam dalam membuat keputusan.

"Ini jelas dalam tindakannya menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan terbaharu berhubung Statut Rom. Ini banyak menguntungkan Islam," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata negara mungkin berdepan kesan besar jika tidak menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

Beliau berkata kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua angkatan bersenjata juga mungkin tergugat kerana ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan perjanjian yang menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Statut Rom: PH u-turn lagi, kata Najib

Katanya kerajaan pada masa hadapan diharap lebih teliti dan berhati-hati dalam menentukan sesuatu perkara terutama yang membabitkan kedaulatan negara.

Semalam, Perdana Menteri Dr Tun Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.

Beliau berkata Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac, dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun tahun ini. -Bernama