Perkhidmatan LRT, MRT dilanjutkan Selasa ini

LRT
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling/ Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang akan dilanjutkan sehingga 1 pagi Selasa ini bersempena aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil.

Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Prasarana Malaysia Berhad hari ini, penumpang boleh menggunakan perkhidmatan itu termasuk bertukar laluan di Stesen Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Pasar Seni dan Maluri.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan tersebut digalak menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk perjalanan yang mudah, selesa dan selamat.

Mereka juga disaran menggunakan fasiliti ‘park n ride’ yang disediakan di stesen-stesen MRT dan LRT khususnya di sepanjang Laluan LRT Sri Petaling terutamanya di Putra Heights, Muhibbah, Awan Besar, Kinrara BK5, IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, dan Kompleks Parkir Bertingkat Bandar Tasik Selatan.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia dalam laman Facebook rasminya hari ini kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan untuk perlawanan itu telah habis dijual. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia