Tarik balik Statut Rom keputusan tepat, kata Tok Mat

Mohamad (kiri) ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di Bilik Gerakan BN hari ini. - Foto Bernama
Mohamad (kiri) ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di Bilik Gerakan BN hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
SEREMBAN - Keputusan kerajaan menarik diri dari menerima perakuan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah tepat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menandatanganinya bukan sahaja tiada sebarang manfaat, malah hanya mengurangkan kedaulatan negara.

"Tahniah pada kerajaan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah buat keputusan tarik diri jadi negara anggota yang terima ICC.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tak jadi tandatangan Statut Rom

"Isu ini telah buatkan rakyat jadi tak selesa terutama cara kerajaan proses tandatangan itu tanpa rujuk dan dapat pandangan rakyat sebelum ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN PRK DUN Rantau, di Kampung Ulu Kanchong di sini, hari ini.

Menurutnya, negara besar termasuk Amerika Syarikat pun tidak menandatanganinya, kenapa pula Malaysia perlu tergesa-gesa seolah mahu menjadi hero pada masyarakat dunia.

"Kalau tandatangan tak dapat apa-apa, tapi rosak kedaulatan negara. Kalau sekadar nak dipuji, saya rasa baik lupakan.

"Yang penting kita jaga kedaulatan dan hak negara kita," katanya.

Kabinet semalam memutuskan Malaysia menarik diri daripada menerima perakuan Statut Rom ICC berikutan salah faham banyak pihak berkaitan perjanjian antarabangsa berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Wisma Putra dalam kenyataan pada 5 Mac lalu memaklumkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac dan surat berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.