Kain rentang provokasi burukkan BN: Tok Mat

Sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Kampung Ulu Kanchong di sini, hari ini.
A
A

SEREMBAN - Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan pihaknya mempunyai kaitan dengan kain rentang provokasi terhadap calon PH di PRK DUN Rantau.

Beliau mendakwa ia sengaja dilakukan oleh pihak lawan yang sengaja mahu mencetus sentimen perkauman bagi memburuk-burukkan imej BN.

"Ini merupakan provokasi yang mereka lakukan sendiri kerana modus operandi pihak ini dah ada dalam poket kita.

"Dia buat perang psikologi dan saya mengutuk sekeras-kerasnya gegantung provokasi seperti itu khususnya berunsurkan kaum," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Kampung Ulu Kanchong di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kain rentang provokasi yang dipasang di sekitar Rantau sejak awal pagi tadi.

Kain rentang itu tertera dengan tulisan minang “Jangan beri dia kuasa, mari bangkit Melayu Negeri. Kita ganyang sama dia. Buktikan kita anak jati Rantau.

Menurutnya, adalah tidak munasabah jika BN sendiri yang memasang kain rentang berkenaan kerana beliau kini sedang berusaha meningkatkan peratusan pengundi India.

Beliau berkata, memasang kain rentang provokasi sebegitu hanya membuatkan pengundi India DUN Rantau menolak BN.

"Pada PRU13, pihak mereka sengaja memecahkan patung di kuil dan menuduh BN yang menjadi kerajaan ketika itu melakukannya. Provokasi sebegini sangat merbahaya dan ia perlu dielakkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Streram kesal ada pihak naikkan kain rentang provokasi

Sehubungan itu beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis segera melakukan siasatan atas dakwaan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga akan mengarahkan wakil BN untuk membuat laporan polis.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia