Tolak Statut Rom bukan kehendak kerajaan, kata Kit Siang

Kit Siang bergambar dengan jawatankuasa penganjur Pameran dan Pertandingan Bioteknologi Antarabangsa Kali Ke-5
Kit Siang bergambar dengan jawatankuasa penganjur Pameran dan Pertandingan Bioteknologi Antarabangsa Kali Ke-5
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), bukan atas kehendak kerajaan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sebaliknya, keputusan tersebut dibuat kerana dipaksa oleh keadaan dan situasi tersebut bukanlah kali pertama berlaku.

"Sangat rasa kecewa, tetapi kita perlu kaji, sangat jelas bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dan Kabinet yang buat keputusan semalam, sebulat suara bukan kemahuan mereka.

"Mereka rasa dipaksa oleh keadaan, dan ini bukan kali yang pertama.

"Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pun ada berlaku," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Pameran dan Pertandingan Bioteknologi Antarabangsa Kali Ke-5 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di ICC, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Statut Rom: Jemaah menteri buat keputusan ikut prosedur

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tak jadi tandatangan Statut Rom

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut mempersoalkan mengapa dalam tempoh 11 bulan pasca PRU14 keadaan negara ini, menjadi begitu 'toksik' sehingga perkara tidak betul, meracuni pemikiran rakyat.

"ICERD menjadi ancaman kepada orang Melayu, orang Islam dan institusi raja-raja. Statut Rom menjadi ancaman, sedangkan tidak.

"Kenapa (perkara tidak benar) boleh dipercayai sehingga menjadi satu kuasa yang perlu diambil kira," katanya.

Selain itu, katanya, keputusan kerajaan sebelum ini untuk menandatangani Statut Rom pada 4 Mac lalu, adalah kerana mahu Malaysia memainkan satu peranan dalam bidang di peringkat antarabangsa.

Mengulas mengenai program, Kit Siang menyifatkan pameran dan pertandingan tersebut sebagai medan mencungkil kreativiti mahasiswa dan mahasiswi di universiti.

"Ia menjadi peluang meraih pengalaman dalam menganjurkan aktiviti dan melontarkan cadangan serta kreativiti. Saya rasa ini satu kegiatan yang sangat sihat.

"Kita perlu galakkan mereka supaya mahasiswa mahasiswi ini boleh giat dalam semua bidang disertai oleh mereka," katanya.