Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang

Muhammad Mustaqim maut selepas dihempap pokok tumbang di Kilometer 67.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan pada Jumaat. - Foto JBPM
Muhammad Mustaqim maut selepas dihempap pokok tumbang di Kilometer 67.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan pada Jumaat. - Foto JBPM
A
A
A

BENTONG - Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang di Kilometer 67.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan pada Jumaat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, mangsa dikenali Muhammad Mustaqim Noor Azhar, 21, beralamat Taman Hijau, Karak Bentong.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 7.17 petang mengenai kejadian tersebut.

"Enam anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi terdapat pokok tumbang dan telah menghempap sebuah motosikal serta terdapat seorang lelaki dewasa di bawah timbunan pokok tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.



Ujar beliau, anggota bomba membuat operasi mengeluarkan mangsa menggunakan satu unit gergaji rantai.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok tumbang di KM67.4 LPT pada Jumaat. - Foto JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok tumbang di KM67.4 LPT pada Jumaat. - Foto JBPM

"Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," kata beliau.

Difahamkan kejadian berlaku ketika hujan lebat yang menyebabkan pokok tumbang dan menghalang laluan.