Kerajaan digesa realisasi lapangan terbang di Bagan Serai

Dr Noor Azmi (tiga, kanan) menyempurnakan upacara perlepasan 400 peserta acara Funride Bersama Tok Mi Bagan Serai di pekarangan Stadium Mini Bagan Serai hari ini.
Dr Noor Azmi (tiga, kanan) menyempurnakan upacara perlepasan 400 peserta acara Funride Bersama Tok Mi Bagan Serai di pekarangan Stadium Mini Bagan Serai hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan PH digesa merealisasikan semula cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang di Bagan Serai bagi menampung keperluan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang semakin padat.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, cadangan dikemukakan kepada kerajaan terdahulu pada tahun 2010 adalah solusi terbaik bagi menampung keperluan penumpang penerbangan domestik susulan kapasiti pengguna LTAPP ketika ini terlampau padat dan sesak.

Menurutnya, pada ketika ini, jumlah kapasiti pengguna LTAPP dianggarkan mencecah 10 juta orang setahun, sedangkan pihaknya difahamkan lapangan terbang antarabangsa itu hanya dibina bagi menampung kapasiti pengguna sehingga 6 juta sahaja.

"Meskipun LTAPP difahamkan sudah dilaksanakan projek naik taraf, namun masalah kekangan tanah terhad menyebabkan usaha memperbesarkannya sukar dilaksanakan.

"Sebagai opsyen penyelesaian, Kedah juga dikatakan meminta pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim, namun saya difahamkan baru di peringkat perbincangan dan belum ada kertas kerja.

"Namun di Parlimen Bagan Serai, satu kertas kerja berserta pelan pembangunan bagi perlaksanaan projek pembinaan lapangan terbang digelar Utara Malaysia Airport Terminal(UMAT) sudah dihantar dan dipertimbangkan kerajaan terdahulu pada tahun 2010," katanya kepada media selepas menyempurnakan program Funride Bersama Tok Mi Bagan Serai dan Pemeriksaan Kesihatan Doktor Pakar di Stadium Mini Bagan Serai, di sini hari ini.

Program ini disertai lebih 400 peserta termasuk 30 doktor pakar dari hospital swasta sekitar Pulau Pinang.

Dr Noor Azmi berkata, cadangan pembinaan UMAT dibangkitkan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta pada tahun 2010 itu sudah dibawa hingga ke peringkat Unit Perancangan Ekonomi di peringkat negeri dan pusat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu kembali tenggelam susulan kerajaan terdahulu mengemukakan cadangan lain hendak membina lapangan terbang baharu di kawasan Perak Tengah.

"Namun kini, apabila kerajaan PH membatalkan cadangan membina lapangan terbang baharu di Perak Tengah, saya berharap cadangan membina UMAT di Bagan Serai kembali direalisasikan.

"Di sini, kita mempunyai jumlah keluasan tanah mencukupi, keadaan tanah landai, cantik dan luas serta paling penting terletak berhampiran lebuhraya.

"Di samping itu, lokasi kedudukan Parlimen Bagan Serai yang terletak berhampiran dengan LTAPP juga turut menjadikan kawasan sini paling strategik untuk dibina lapangan terbang alternatif,"katanya.

Dr Noor Azmi berkata, susulan cadangan UMAT dibangkitkan dalam sidang Parlimen sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meminta pihaknya menyediakan semula kertas kerja berkaitan perkara itu untuk diteliti pihak kementerian.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Majlis Daerah Kerian (MDK) untuk menyiapkan semula kertas kerja dan berjanji akan memperjuangkan perkara ini demi kepentingan rakyat Bagan Serai.

"Kalau dahulu kita anggap Sepang sebagai tempat jin bertendang, kini sejak pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) di situ, nasib penduduk Sepang berubah 100 peratus.

"Saya berharap perkara sama juga akan dinikmati rakyat Bagan Serai bagi tempoh lima hingga 10 tahun lagi," katanya.