Perangkap nyamuk DIY semakin dapat sambutan

Ching Keat (dua kanan) dan Loyis (kiri) menunjukkan perangkap nyamuk DIY yang semakin mendapat sambutan baik
Ching Keat (dua kanan) dan Loyis (kiri) menunjukkan perangkap nyamuk DIY yang semakin mendapat sambutan baik
A
A
A

PETALING JAYA - Kaedah membuat perangkap nyamuk secara sendiri atau 'Do It Yourself' (DIY) dilihat mendapat sambutan memberangsangkan daripada komuniti setempat dan pihak berkepentingan.

Ketua Penolong Pengarah Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Low Ching Keat berkata, sebelum ini, majlis menggunakan perangkap nyamuk yang dikenali sebagai Ovitrap bagi mengawal pembiakan nyamuk aedes khususnya sekitar lokaliti-lokaliti panas di Petaling Jaya.

Namun begitu, beliau berkata penggunaan kaedah Ovitrap dilihat kurang efisien berikutan kosnya yang mencecah sehingga RM20 seunit malah perangkap itu juga seringkali hilang selepas diletakkan di kawasan-kawasan tertentu.

"Keberkesanan Ovitrap ini memang amat baik tapi penggunaannya kurang efisien kerana melibatkan kos malah ia juga seringkali hilang. MBPJ pernah letakkan Ovitrap ini di satu kawasan namun malangnya 20 peratus daripadanya didapati hilang.

"Disebabkan itulah, kita mulakan perangkap nyamuk DIY ini supaya orang ramai tidak lagi berdepan kos yang tinggi sekiranya ia dicuri atau sebagainya," katanya selepas Kempen Anti Denggi: Perangkap Nyamuk DIY yang berlangsung di Hospital KPJ Damansara hari ini.

Mengulas lanjut, Ching Kiat berkata pihaknya kini giat menjalankan siri jelajah bagi memberi panduan kepada seluruh masyarakat di Petaling Jaya mengenai inisiatif perangkap nyamuk DIY ini yang dilihat berkesan mengurangkan nyamuk dewasa khususnya aedes.

Beliau berkata, kos bagi membuat satu unit perangkap nyamuk DIY adalah amat berpatutan dan hanya mencecah sekitar 30 sen seunit./p>

Kakitangan Hospital KPJ mengambil peluang untuk membuat perangkap nyamuk DIY sendiri
Kakitangan Hospital KPJ mengambil peluang untuk membuat perangkap nyamuk DIY sendiri

<

Artikel Berkaitan:

"Barang-barang yang digunakan untuk membuat perangkap ini juga adalah sangat mudah seperti seperti botol mineral, kertas hitam dan coklat, gunting, gam serta jaring hitam.

"MBPJ juga turut memberi pendedahan kepada pasukan Search and Rescue Rangers (Sedar) bagi membolehkan mereka mengembangkan lagi inisiatif ini di peringkat komuniti," katanya.

Dalam pada itu, Ching Kiat memaklumkan buat masa ini, MBPJ mempunyai sebanyak 249 pasukan Sedar di seluruh Petaling Jaya sejak inisiatif ini dimulakan pada empat tahun lalu.

Tambahnya, kebanyakan pasukan Sedar terdiri daripada kelompok komuniti, sekolah, hospital, masjid, gereja, kilang dan lain-lain lagi.

"Kita kena kerja secara berpasukan kerana MBPJ juga turut mempunyai kekangan pegawai dan disebabkan itulah kerjasama antara kedua pihak amat penting dalam mengawal pembiakan nyamuk aedes ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ Zon 9, Loyis Uding memaklumkan bahawa inisiatif perangkap nyamuk DIY ini amat baik dalam usaha untuk mengawal pembiakan nyamuk aedes khususnya di kawasan-kawasan panas.

Katanya, masyarakat di sesebuah kawasan perlu diberi pendedahan mengenai kebaikan perangkap nyamuk ini bagi membolehkan mereka bersama-sama dalam usaha mengurangkan kadar kes demam denggi di Petaling Jaya.

"Selain harganya yang murah, perangkap nyamuk DIY ini juga dapat menjadi satu aktiviti yang baik buat seisi keluarga," katanya.