[VIDEO] ʻHarga barangan bakal naik lagiʼ

Kenaikan harga barang dijangka berlaku susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali ketiga dalam tempoh setahun. (Gambar kecil: Mohd Faisol)
Kenaikan harga barang dijangka berlaku susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali ketiga dalam tempoh setahun. (Gambar kecil: Mohd Faisol)
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan harga barang dijangka berlaku susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali ketiga dalam tempoh setahun.

Pakar ekonomi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, kenaikan harga itu melibatkan barangan tertentu seperti makanan dan perkhidmatan.

Ujarnya, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR perlu dilaksanakan bagi mengawal kadar inflasi yang lebih tinggi jika tidak berjaya dibendung dari awal.

“Jadi kerajaan terpaksa menaikkan kadar OPR. Apabila OPR dinaikkan, sudah pasti ia memberi impak kepada pengguna terutama melibatkan urusan pinjaman bank sebagai contoh kenaikan bayaran pinjaman kenderaan dan pinjaman perumahan.

“Peniaga dan pembekal yang terkesan dengan peningkatan OPR akan menaikkan harga barang dengan alasan terpaksa menanggung kos mahal sebagai contoh produk yang diusahakan industri kecil dan sederhana (IKS), selain harga ayam turut dinaikkan dengan alasan kos dedak meningkat.

“Mengapa harga dedak itu naik? Ia disebabkan pembekal yang berdepan kenaikan kadar faedah pinjaman bertindak menaikkan harga yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna yang terpaksa membeli barangan dengan harga jauh lebih mahal,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Khamis media melaporkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Pengumuman BNM mengenai kenaikan kadar OPR tersebut adalah yang ketiga untuk tahun ini Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Mohd Faisol menjelaskan, setiap kementerian yang berkaitan perlu mewujudkan satu skim atau mekanisme kawalan harga bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan kos barang keperluan dan sebagainya.

“Sekiranya kerajaan melaksanakan inisiatif berkaitan dan mengawal harga barang maka kenaikan harga itu dapat dikawal.

“Sebagai contoh apabila harga ayam naik secara melampau, kerajaan boleh menetapkan harga syiling bagi memastikan tiada lagi berlaku kenaikan harga dan setiap peniaga perlu mematuhi harga siling sudah ditetapkan,” ujar beliau.