Korea Selatan isytihar darurat bencana

Lebih 4,200 orang telah dipindahkan. - Foto AFP
Lebih 4,200 orang telah dipindahkan. - Foto AFP
A
A
A

SEOUL - KOREA SELATAN. Kerajaan Korea Selatan mengisytiharkan darurat bencana kebangsaan pada Jumaat selepas kebakaran besar-besaran melanda lima bandar dan daerah di sepanjang pantai timur laut, lapor agensi berita Yonhap.

Pengumuman itu dibuat selepas Perdana Menteri Lee Nak Yon berkata beliau telah mencadangkan agar Presiden Moon Jae In mengambil langkah tersebut.

"Kerajaan akan turut memutuskan sama ada meletakkan kawasan yang terjejas sebagai zon bencana khas selepas memeriksa tahap kerosakan," kata seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan.

Kebakaran itu bermula di sebuah gunung berhampiran pantai timur laut yang menyebabkan seorang lelaki maut dan memusnahkan hutan dan bangunan, dengan jumlah kerosakan meningkat ke tahap yang disifatkan pihak berkuasa sebagai "belum pernah berlaku sebelum ini."

Kebakaran itu dipercayai bermula di tepi sebatang jalan di Goseong, Wilayah Gangwon kira-kira 160 kilometer dari Seoul, dan merebak dengan cepat ke kawasan berhampiran sebelum menyelubungi Sokcho, Gangneung dan Donghae dalam tempoh beberapa jam dengan angin kencang memarakkan lagi api.

Lebih 870 buah kereta bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran di seluruh negara untuk memadamkan api.

Kira-kira 13,000 anggota pasukan penyelamat, temasuk tentera dan polis, telah bertungkus-lumus berusaha mengawal api dan membantu memindahkan penduduk sejak Khamis malam. Seorang lelaki disahkan meninggal dunia manakala 11 lagi cedera.

Lebih 4,200 orang telah dipindahkan.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran itu telah memusnahkan hutan seluas 385 hektar serta sekurang-kurangnya 300 buah rumah dan bangunan di Goseong, Sokcho dan Gangneung, menurut pihak berkuasa.

Antara bangunan yang rosak ialah fasiliti kejururawatan dan tapak perkhemahan komersial -- bandar di pantai timur adalah tempat peranginan dan destinasi pelancongan yang popular.

Jalan raya dan jalan kereta api telah ditutup, begitu juga 52 buah sekolah dan fasiliti awam lain. - Bernama