Mapim sembelih 150 ekor kambing untuk pelarian Syria

Anak-anak pelarian Syria bermain permainan rutin mereka sebagai aktiviti seharian ketika Misi Bantuan Kemanusian Musim Sejuk ke-10 dan ke-11 di kem pelarian Beyrouti, Beqaa Tengah, semalam. - Foto Bernama
Anak-anak pelarian Syria bermain permainan rutin mereka sebagai aktiviti seharian ketika Misi Bantuan Kemanusian Musim Sejuk ke-10 dan ke-11 di kem pelarian Beyrouti, Beqaa Tengah, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

LEMBAH BEQAA - LUBNAN. [DIKEMASKINI] Sumbangan rakyat Malaysia untuk tabung Misi Kemanusiaan Syria ke-10, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membolehkan 150 ekor kambing dibeli buat pelarian Syria sekitar Lubnan.

Setiausaha Agung Mapim, Mejar Zulhanis Zainol berkata rezeki yang dikongsi bersama rakyat Malaysia itu dapat memanfaatkan hampir 3,000 pelarian Syria di kem-kem pelarian, di sini.

"Mapim merasa kagum dengan tindakan proaktif rakyat Malaysia kerana dalam masa hanya seminggu kita berjaya mengumpul wang yang mencukupi untuk membeli 150 ekor kambing untuk disembelih dan diagihkan kepada hampir 3,000 pelarian Syria di kem-kem pelarian sekitar Lubnan,” katanya kepada Bernama selepas selesai program Mapim Global Qurban & Akikah di kem pelarian Beyrouti, pada Jumaat.

Menurut Zulhanis, bagi program kali ini, Mapim sendiri turun padang untuk bersama-sama membantu bermula dari proses penyembelihan kambing sehingga selesai pengagihan daging kepada 600 keluarga pelarian di tiga kem pelarian di sekitar Lubnan.

Dalam program yang sama, Mapim turut menyerahkan bantuan berupa minyak gasolin, makanan yang telah dipek serta selimut tebal untuk diagihkan kepada pelarian di kem Beyrouti, Adam Ithnin dan Zairuti. Zulhanis berkata dalam misi kali ini, rakan NGO dari Lubnan iaitu Ghirass for Society Development yang banyak membantu dari segi mengenalpasti setiap barang keperluan yang diperlukan pelarian di sini.

Katanya Mapim bercadang untuk melakukan program itu secara berkala setiap bulan di Lubnan serta di sembilan negara yang lain, manakala untuk Hari Raya Aidiladha tahun ini pula Mapim bakal mengatur misi ke 40 buah negara untuk menghulurkan bantuan daging korban kepada pelarian perang di negara-negara terbabit.

Dalam pada itu, Setiausaha kedua di Pejabat Kedutaan Malaysia di Lubnan Nur Haidar Abd Wahid turut singgah menemui delegasi Mapim untuk menyerahkan bantuan berupa selimut tebal dan wang kepada pelarian di tiga kem pelarian di sini.

"Pejabat Kedutaan melalui kerjasama Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) dan pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) yang bertugas untuk United Nations Interim Force di Lubnan (UNIFIL) turut bersama-sama menghulurkan bantuan selimut dan sejumlah wang buat pelarian yang berada di tiga kem ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pejabat Kedutaan Malaysia di Lubnan amat mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak daripada Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan kemanusiaan di sini, namun perlu memaklumkan setiap perincian pelan program kepada pihak kedutaan lebih awal agar kerja-kerja koordinasi dapat dilaksana secara lebih efektif. - Bernama