1M1P tingkat keselamatan masjid

Zainudin (kiri) menyerahkan peti polis kepada wakil Pengerusi Masjid Puncak Alam, Zainal Abidin Sulaiman sebagai simbolik Pelancaran 1M1P.
Zainudin (kiri) menyerahkan peti polis kepada wakil Pengerusi Masjid Puncak Alam, Zainal Abidin Sulaiman sebagai simbolik Pelancaran 1M1P.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Pendekatan 1Masjid 1Polis (1M1P) memperluaskan lagi kerjasama kedua pihak sekali gus membantu meningkatkan tahap keselamatan di institusi ibadah terbabit.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Asisten Superintendan Mohd Nizam Abd Aziz berkata, Masjid Puncak Alam dipilih untuk sesi pelancaran kali ini.

"Pegawai polis yang ditempatkan melalui program ini akan bekerjasama dengan jawatankuasa masjid bagi menangani masalah jenayah yang berlaku seperti curi tabung, kereta dan beg kariah masjid.

"Pada masa sama, kami mahu memberikan pendedahan dan pemakluman terhadap program 1M1P kepada nazir, pengerusi, jawatankuasa dan wakil masjid di bawah pentadbiran IPD Sungai Buloh," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran 1M1P yang disempurnakan Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Deputi Superintendan Zainudin Abdul Hamid di Dewan Masjid Puncak Alam.

Katanya, pendekatan ini membolehkan pihak polis bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan wakil masjid seluruh kawasan pentadbiran IPD Sungai Buloh untuk berkenalan lebih rapat.

"Dengan cara ini, mereka boleh bertukar fikiran berhubung pencegahan jenayah khususnya di persekitaran masjid selain mengenali pegawai perhubungan masjid (PPM) yang terdiri daripada pegawai polis.

"Kerjasama semua pihak penting bagi menjayakan 1M1P sekali gus membantu mengurangkan kadar jenayah di institusi ibadah," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan: