Ekspedisi Kelulut Gunung Pulai

Pendakian mencabar tidak menghalang peserta ekspedisi mencari spesis kelulut di Gunung Pulai.
Pendakian mencabar tidak menghalang peserta ekspedisi mencari spesis kelulut di Gunung Pulai.
A
A
A

KULAI - Sebanyak lima spesis kelulut berjaya ditemui menerusi Ekspedisi Kelulut Gunung Pulai anjuran Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Johor dan Universiti Malaysia Terengganu ( UMT).

Ketua Ekspedisi yang juga Dekan Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT, Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata, spesis berkenaan merupakan kelulut liar menjadikan bunga hutan, pokok dan daun sebagai habitat.

Katanya, penemuan spesis kelulut itu menjadi bukti kawasan Gunung Pulai yang dikelilingi daerah yang pesat membangun seperti Johor Bahru dan Kulai, masih menjadi tempat pembiakan bagi lebah kelulut.

“Penemuan spesis lebah kelulut itu cukup berharga khususnya kepada industri penternakan kelulut di negeri Johor,”katanya.

Jelasnya, ekspedisi kelulut itu merupakan program utama penyelidik kelulut UMT.

“Ekspedisi ini sudah menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kali ini, kita bersama JBESS menjalankan ekspedisi ke Gunung Pulai bagi mencari spesis kelulut di kawasan ini dan seterusnya membuat pemetaan kelulut di sini,”katanya.

2,800 penternak kelulut di Johor

Presiden Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Johor (JBESS), Hazrulnizam Abu Bakar berkata, mengikut rekod Jabatan Pertanian terdapat 2,800 penternak kelulut di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, 600 orang menjadi ahli JBEES yang ditubuhkan empat tahun lalu sebagai pemangkin industri kelulut yang kini menjana kekayaan baharu buat negara.

Hazrulnizam berkata, selain mencari spesis kelulut di kawasan Gunung Pulai, ekspedisi yang disertai 40 penternak kelulut dari seluruh negara itu bertujuan membentuk hubungan lebih kukuh antara JBEES dengan penternak kelulut.

Peserta Ekspedisi Kelulut Gunung Pulai.
Peserta Ekspedisi Kelulut Gunung Pulai.

“Kami daki Gunung Pulai bagi melihat sendiri spesis kelulut yang ada di kawasan ini.

“Pemetaan kawasan kelulut turut dilakukan supaya data mengenainya dapat disimpan dan dijadikan rujukan,” katanya.

Jelasnya, terdapat sekurang-kurangnya lima spesis kelulut yang mudah ditemui di negara ini.

“Kelulut heterotrigona itama merupakan spesis yang biasa ditemui di kawasan kebun dan kaki gunung. Sifatnya yang mudah diurus menjadi pilihan kepada penternak.

“Oleh itu, dengan ekspedisi ini akan lihat spesis kelulut ditemui itu dan seterusnya menjalankan kajian bagi melihat jenis kelulut yang sesuai untuk diternak,” katanya.

Elak penipuan

Hazrulnizam berkata, madu kelulut yang cukup berkhasiat sering dicari orang ramai.

Kesempatan itu digunakan bagi segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengaut untung dengan menipu menjual madu kelulut tiruan.

Jelasnya, penipuan madu kelulut cukup licik di mana ada yang mencampurkan madu kelulut dengan madu biasa, air gula melaka dan jus nanas.

Justeru, bagi mengelak penipuan madu kelulut, JBEES menyediakan satu platform bagi penternak kelulut memasarkan terus produk mereka kepada pengguna.

“JBEES menyediakan tiga kaedah mudah bagi pengguna mendapatkan madu kelulut asli dari penternak iaitu dengan berkunjung ke Pusat Rujukan Daerah JBEES di 10 daerah.

“Kedua, pengguna boleh melayari laman sesawang Usahawanmadukelulut.com dan akhirnya sekali menerusi media sosial JBEES,” katanya.

Menurut Hazrulnizam, pengguna akan bertemu sendiri dengan penternak kelulut yang berdaftar dengan persatuan bagi membolehkan mereka mendapatkan madu kelulut asli.