'Kami tak mahu salahkan sesiapa'

Allahyarham Arisa sangat rapat dengan bapanya dan banyak bercakap bersama rakan-rakannya.
Allahyarham Arisa sangat rapat dengan bapanya dan banyak bercakap bersama rakan-rakannya.
A
A
A
BUKIT BERUNTUNG - Ibu bapa kepada pelajar darjah empat yang meninggal dunia dilanggar van sekolah pada Khamis lalu, tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berhubung insiden tersebut.

Ibu, Habsah Abdul Aziz, 42, berkata, dia reda dengan apa yang berlaku dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan suami masing-masing di tempat kerja sebelum mendapat panggilan daripada polis memaklumkan kemalangan membabitkan anak sulung mereka, Arisa Safina Aminuddin Awang, 10.

"Arisa yang kami panggil kakak sangat rapat dengan ayahnya dan lebih banyak bercakap apabila bersama rakan-rakan.

"Selepas balik sekolah Arisa dan adiknya berusia tujuh tahun akan tinggal sementara di rumah anak saudara saya.

"Balik dari kerja jam 8 malam, saya akan ambil mereka dan pada hari kejadian bila dapat panggilan dari polis, saya amat terkejut,” katanya.

Habsah berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Beruntung sebelum solat Jumaat, kelmarin.

Menurutnya, arwah anaknya pernah meluahkan rasa takut dan meminta agar tidak ditinggalkan sendirian.

"Saya anggap hanya gurauan kerana Arisa memang suka bergurau dengan bercakap perkara seperti itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak sangka kejadian sebegini terjadi namun saya reda dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak," katanya.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, murid tersebut turun dari van sekolah dan melintas di hadapan kenderaan terbabit tanpa disedari pemandu van.

Mangsa yang dilanggar mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian di kawasan Apartmen Seri Teluki, Bukit Sentosa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, pemandu van berkenaan seorang wanita berusia 56 tahun dibebaskan kelmarin selepas tamat tempoh reman dan selesai merakam keterangan.