Sampai ada yang dipijak, pengsan!

A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 penyokong dilaporkan pengsan selain ada yang dipijak ketika bersesak-sesak sebaik kaunter tiket final pertama Piala Suzuki AFF 2018, dibuka pagi ini.

Media tempatan melaporkan, lebih 10,000 penyokong membanjiri kaunter A, Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pagi ini bagi mendapatkan tiket perlawanan antara Malaysia dan Vietnam, Selasa ini.

Terdahulu, 40,000 tiket yang dijual dalam talian, habis dijual.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan baki 40,000 tiket lagi akan dijual secara fizikal hari ini di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.

[ARTIKEL BERKAITAN: 40,000 tiket dalam talian habis dijual]

Peminat bola sepak negara boleh mendapatkan tiket perlawanan di Kaunter Tiket Pintu A & Pintu E di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula jam 10 pagi hingga 5 petang (atau sehingga tiket habis), dengan setiap penyokong hanya boleh membeli maksimum lima tiket.

FAM berkata, peminat boleh juga mendapatkan tiket perlawanan di beberapa cawangan Al-Ikhsan Sports terpilih dan mereka boleh merujuk laman Facebook Al-Ikhsan Sports untuk butiran lanjut.

Badan induk bola sepak negara itu turut memaklumkan peminat tempatan yang hadir menyaksikan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala pada 5 Disember lalu, boleh membeli tiket aksi final pertama di kaunter tiket khas di Arena Futsal FAM, Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kaunter tiket khas di Wisma FAM ini hanya dibuka sehari pada Ahad ini dari 10 pagi hingga 5 petang, menurut FAM.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia