Felda United tersungkur di Larkin

JDT tidak menghadapi masalah bertemu Felda United apabila menguasai perlawanan dalam aksi Liga Super malam tadi.
JDT tidak menghadapi masalah bertemu Felda United apabila menguasai perlawanan dalam aksi Liga Super malam tadi.
A
A
A

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan 3-1 ke atas Felda United dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Bermula aksi separuh masa pertama, tuan rumah pantas mengatur gerakan dan mengasak pasukan pelawat menerusi beberapa siri serangan yang dilancar.

Dibarisi oleh Gonzalo Cabrera, Diogo Santo dan Safawi Rasid di bahagian serangan, JDT mempunyai banyak peluang untuk meraih jaringan dan mendahului Felda United.

Bagaimanapun kesemua percubaan ke arah gawang pasukan pelawat berjaya digagalkan oleh penjaga gol Felda United, Norazlan Razali yang beraksi cemerlang.

Permainan Felda United kemudiannya sedikit tempang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Zahril Azri Zabri dilayangkan kad merah berikutan menerima dua kad kuning.

JDT kemudiannya memasukkan Nazmi Faiz dan Akhyar Rashid menggantikan Leandro Velazquez dan Safawi bagi memantapkan barisan serangan pasukan.

Stadium gamat seketika apabila pengadil perlawanan memberikan kad kuning kedua yang membawa layangan kad merah ke atas Thiago Junior.

JDT berjaya meraih gol pertama perlawanan menerusi Cabrera yang melakukan rembatan kencang ke dalam gawang Felda United pada minit ke-88.

Artikel Berkaitan:

Felda United kehilangan khidmat kapten pasukan Hadin Azman yang turut dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

Bagaimanapun, pasukan pelawat kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Jocinei Schad yang gagal ditampan penjaga gol JDT pada minit ke-90.

Kegembiraan Felda United hanya seketika apabila Akhyar menjaringkan gol kedua tuan rumah ketika permainan dua minit memasuki masa tambahan.

Diogo menambah derita pasukan pelawat apabila menjaringkan gol ketiga pasukan ketika permainan menuju ke penamatnya, yang akhirnya membawa kepada kemenangan 3-1 JDT ke atas Felda United di Larkin.