Pilihan raya Thailand: SPR siasat 66 calon menang

Sehingga hari ini, SPR Thailand menerima hampir 300 aduan mengenai pelanggaran undang-undang pilihan raya.
Sehingga hari ini, SPR Thailand menerima hampir 300 aduan mengenai pelanggaran undang-undang pilihan raya.
A
A
A

BANGKOK – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand akan menyiasat 66 calon yang menang dalam Pilihan Raya Umum Thailand pada 24 Mac, kata Pesuruhjayanya Pakorn Mahannop hari ini.

Sehingga hari ini, SPR Thailand menerima hampir 300 aduan mengenai pelanggaran undang-undang pilihan raya.

"Kami akan meneliti setiap aduan yang difailkan. SPR akan mengeluarkan 'Kad Jingga' kepada calon yang didapati bersalah, "katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Kad Jingga akan menyaksikan hak pilihan raya calon-calon yang menang digantung selama setahun jika bukti mendapati mereka terlibat dalam penipuan.

Pakorn mengulangi bahawa SPR hanya akan mengumumkan 150 senarai calon parti selepas laporan dan aduan mengenai ketidakpatuh peraturan ditangani.

"Jumlah undi yang dikemukakan serta undi popular setiap parti mungkin berubah. Oleh itu pengagihan senarai kerusi parti juga boleh berubah," katanya.

Pada 24 Mac, Thailand mengadakan pilihan raya umum yang pertama selepas rampasan kuasa tentera 2014 untuk memilih 500 calon ke Dewan Perwakilan dengan 350 daripada mereka akan dipilih secara langsung melalui pilihan raya kawasan manakala 150 akan dipilih menerusi perwakilan senarai parti.

Sebanyak 150 kerusi senarai parti, diagihkan di bawah kaedah rumit berdasarkan jumlah undi masih tidak diketahui, hampir dua minggu selepas pilihan raya. Orang awam dan parti politik menggesa EC mengumumkan formula yang digunakannya untuk mengira pengagihan anggota parlimen dari senarai parti.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Pakorn berkata, terdapat hanya satu formula kerusi senarai parti dan ia berdasarkan Akta Organik mengenai pilihan raya, Seksyen 128 dan 129.

Media tempatan melaporkan terdapat dua formula untuk menghitung jumlah anggota parlimen dari senarai parti.

Semalam, SPR mengarahkan pengundian diadakan semula di enam pusat mengundi dan pengiraan undi adakan semula di dua pusat mengundi di negara itu berikutan ketakpadanan jumlah pengundi yang keluar mengundi dan jumlah undi yang dipangkah pada Pilihan Raya Umum 24 Mac.

Pilihan raya pertama di Thailand selepas rampasan kuasa 2014 menyaksikan Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra memenangi kerusi paling banyak iaitu 137 diikuti Palang Pracharath yang pro junta 97 kerusi, Bhumjaithai (39), Demokrat (33) dan Future Forward Party (30 ).

SPR Thailand dijangka mengumumkan keputusan rasmi pada 9 Mei.- Bernama