Nenek rugi RM92,400 gara-gara Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

REMBAU – Seorang wanita warga emas kerugian RM92,400 gara-gara ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Talekom Malaysia (TM) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa berusia awal 70-an itu menerima panggilan telefon di talian tetap rumahnya oleh seorang pemanggil lelaki.

Menurutnya, suspek telah memaklumkan kepada mangsa bahawa nombor talian tetap yang didaftarkan di bawah namanya terlibat dengan aktiviti perjudian haram melalui internet.

“Malah, suspek juga mendakwa mangsa telah membuat pengeluaran wang berjumlah RM1.5 juta dari akaun bank. Suspek kemudiannya menyambung talian mangsa kepada individu lain yang kononnya merupakan pegawai polis Bukit Aman.

“Suspek juga menakut-nakutkan mangsa dengan menyatakan waran tangkap telah dikeluarkan dan mangsa akan direman selama 14 hari atas kesalahan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Aibee berkata, suspek kemudian menyuruh mangsa memindahkan wang ke dalam akaun lain untuk tujuan siasatan.

Menurutnya, mangsa yang bimbang akan diambil tindakan telah membuat beberapa transaksi sehingga RM92,400 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Malah, suspek turut mengarahkan mangsa menghapuskan kesemua resit transaksi dan perbualan melalui aplikasi WhatsApp dengan cara dibakar dan dipadam bagi mengelakkan pihak Bukit Aman menemui bukti.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, mangsa akhirnya sedar ditipu apabila suspek menyekat panggilan telefon mangsa. Mangsa akhirnya membuat laporan polis di Rembau bagi tindakan selanjutnya.

Aibee berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai dan mudah ditipu oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai dari mana-mana agensi.