Keputusan Tun M wajar dipuji, kata Pas

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atas alasan beliau tidak bersetuju meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), wajar dipuji.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu juga wajar diikuti pimpinan PH kerana ia akan mengurangkan mesej tidak konsisten pendirian sebenar kerajaan mengenai ICERD.

"Diharap selepas ini tiada lagi pimpinan PH yang memberikan gambaran berbeza terhadap ICERD, yang menguatkan persepsi bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD hanya bersifat sementara.

"Pas menyambut baik keputusan Perdana Menteri itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tun M takkan hadir himpunan Suhakam esok]

[ARTIKEL BERKAITAN: Faktor keselamatan sambutan hari hak asasi manusia tangguh]

Sambutan Hari Hak Asasi Manusia sepatutnya berlangsung semalam di Padang Timur, Petaling Jaya, namun ia dibatalkan atas nasihat polis kerana diadakan pada hari sama dengan Pas, Umno dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan mengadakan himpunan membantah ICERD.

Suhakam kemudiannya memutuskan untuk mengadakan program sambutan itu hari ini, namun ia tidak dihadiri Dr Mahathir kerana pendirian kerajaan berbeza dengan Suhakam dalam isu ICERD.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, keputusan Dr Mahathir itu dilihat tepat selaras dengan kehendak jutaan rakyat Malaysia yang berhimpun di Kuala Lumpur semalam membantah ICERD demi menjaga keharmonian dan hubungan kaum yang baik di negara ini.

"Sesungguhnya hanya mereka yang pelampau dan tidak mengerti dan menghormati budaya serta struktur kepelbagaian Malaysia yang akan bersetuju dengan tuntutan ICERD," katanya.

Beliau turut menasihatkan Suhakam supaya menyokong penuh hasrat Dr Mahathir dan rakyat negara ini yang menentang ICERD.

"Bertindak sebaliknya hanya menimbulkan persepsi bahawa Suhakam telah menjadi alat pihak luar yang lebih memperjuangkan tuntutan pihak luar daripada memahami kepentingan negara," katanya.