Bajet 2023: MOSTI harap bantu perkasa industri bioekonomi

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap Bajet 2023 yang dijadual dibentang pada 7 Oktober dapat membantu kementerian dalam memperkasakan industri bioekonomi negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, melalui Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) yang kini diletakkan di bawah MOSTI, pelbagai agenda dan strategi telah dirancang untuk tahun hadapan bagi merangsang ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

"Jemaah Menteri pada bulan lepas memutuskan Bioeconomy Corporation yang sebelum ini di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk diletakkan di bawah MOSTI bagi mempercepat pembangunan dalam industri berkaitan bioekonomi. Ini merupakan satu perkara besar yang tentunya melibatkan peruntukan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Motosikal (Peningkatan Pendapatan/Kesejahteraan Rakyat) Parlimen Kuala Terengganu 2022 di sini pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata MOSTI juga memerlukan peruntukan bagi melaksanakan pelbagai tanggungjawab termasuk memacu industri teknologi pintar dan memperbanyakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Amzad berkata hasil siasatan dan analisis mengenai dua objek yang disyaki sisa serpihan roket negara China yang ditemukan di sekitar Sarawak sebelum ini, akan diumum apabila maklumat lengkap mengenainya diperoleh.

"Kita akan umum apabila maklumat (telah) lengkap, ia telah dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya (Selangor) untuk siasatan,” katanya.

Pada hujung Julai lepas, media melaporkan terdapat serpihan roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

Pasukan siasatan khas yang digerakkan oleh MOSTI telah mengesahkan bahawa serpihan yang ditemui tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tidak mempunyai sebarang unsur radioaktif serta selamat untuk dilaksanakan siasatan dan analisis seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Kini MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek itu bagi menentusahkan sama ada objek tersebut ada kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China atau tidak.

Terdahulu Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengagihkan 40 motosikal termasuk motosikal roda tiga kepada penerima dalam kalangan miskin tegar yang juga peserta e-Kasih di Parlimen itu.

Beliau berkata penerima dapat menggunakan motosikal itu untuk meningkatkan pendapatan dan seterusnya mengubah nasib mereka serta keluarga. - Bernama