Perak dan Jepun jalin kerjasama

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
A
A

IPOH - Kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pelaburan Infrastruktur Luar Negara Jepun (JOIN) dalam beberapa bidang, khususnya membabitkan sektor logistik dan pembangunan kawasan bandar di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya percaya dengan kepakaran dan penyelesaian berasaskan teknologi tahap tinggi yang dimiliki JOIN, mampu memainkan peranan yang sangat signifikan kepada usaha membangunkan Perak.

“JOIN merupakan sebuah agensi strategik kerajaan Jepun yang terlibat secara aktif dalam pembangunan infrastruktur global. Oleh itu, kita berhasrat mewujudkan perkongsian teknologi dan pembangunan modal insan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan Jepun.

“Kita juga amat berbesar hati kerana dalam pertemuan tadi, apabila pihak JOIN menyatakan komitmen membantu menghubungkan kerajaan negeri Perak dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan di Jepun,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JOIN, Takuma Hatano di Bangunan Marunouchi Nakadori sempena lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun dari 1 hingga 7 April.

Ahmad Faizal berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu, Ahmad Faizal turut mempelawa pihak JOIN mengambil bahagian dalam pembangunan infrastruktur di Perak yang mampu membawa jalinan kemakmuran kepada Malaysia dan Jepun.

“Pertemuan dengan pihak JOIN adalah sebahagian daripada beberapa siri pertemuan delegasi kerajaan negeri Perak untuk membina hubungan dan kerjasama strategik dengan komuniti pelabur serta pelbagai agensi kerajaan Jepun,” katanya.

Semalam, Ahmad Faizal mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Polisi Penjagaan Kesihatan di bawah Sekretariat Kabinet Jepun, Koji Fujimoto bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan untuk golongan warga emas di Perak.

Selepas pertemuan itu, beliau mengetuai delegasi negeri bertemu pentadbiran tertinggi Universiti Tsukuba bagi menawarkan negeri Perak sebagai lokasi pembukaan kampus cawangan universiti itu di Malaysia.

Awal minggu ini, delegasi kerajaan Perak berada di Fukuoka, Jepun bagi majlis sambutan ulang tahun ke-30 Bandar Berkembar Ipoh-Fukuoka yang menyaksikan pihak Majlis Bandaraya Ipoh dan Bandaraya Fukuoka menandatangani Perjanjian Persefahaman meningkatkan lagi hubungan kerjasama di antara kedua-dua bandar raya. - Bernama