Kerajaan Johor arah lakukan tinjauan berkala

Sahruddin melihat peralatan digunakan untuk menyukat kualiti air sungai
Sahruddin melihat peralatan digunakan untuk menyukat kualiti air sungai
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor telah mengarahkan pihak berkaitan untuk melakukan tinjauan secara berkala ke atas semua kilang kelapa sawit yang berada di sepanjang sungai-sungai di negeri ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, arahan tersebut diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tindakan berkenaan.

Menurutnya, dengan arahan berkenaan, kerajaan negeri berharap kejadian pencemaran yang berlaku seperti sebelum ini, tidak berulang pada masa akan datang.

“Kerana bila adanya kebocoran 'leachate', loji rawatan air (LRA) terpaksa ditutup, kesannya ialah masyarakat sekitar tidak mendapat bekalan air,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Ekspedisi Penyelidikan Hulu Sungai Chat di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim Johor di Johor Bahru, hari ini.

Sahruddin berkata, kerajaan negeri juga mengharapkan lebih banyak pihak untuk terlibat sama dalam memastikan semua sungai di negeri ini, dapat ditambah nilai supaya menjadi semakin baik.

“Pasal kita tak nak kes-kes seperti Sungai Kim Kim berulang. Kalau perasan, tiga minggu lepas kita ada kes Sungai Kim Kim. Kemudian kita ada kes Sungai Machap dan Sungai Ulu Benut. Dan dua ke tiga hari lepas ada lagi pencemaran di Sungai Johor di mana LRA Semanggar terpaksa ditutup.

“Namun alhamdulillah mulai petang semalam, LRA Sungai Sayong dan LRA Semanggar telah beroperasi sepenuhnya. LRA Sungai Johor operasi 50 peratus, namun LRA Tai Hong masih ditutup. Jadi penduduk di kawasan sana akan menghadapi pemotongan air secara berjadual.

“Kita harap akan kembali pulih seperti biasa mulai petang ini. Jadi diharap semua pihak kena bekerjasama terutama pengusaha kilang kelapa sawit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, merujuk kepada kes di Machap dan di Kulai, ia disebabkan oleh leachate (air larut resap) yang bocor dan keluar ke sungai hasil daripada kilang kelapa sawit.

Katanya, semua pihak diminta tidak hanya berharap kepada kerajaan untuk menangani isu pencemaran sungai di Johor, sebaliknya masyarakat dan pemain industri iaitu pengusaha kilang perlu peka terhadap perkara itu.

“Sebab itu kerajaan negeri nak pastikan bahawa semua sisa yang dilepaskan mestilah mencapai tahap satu atau tahap dua,” katanya.

Ditanya tindakan terhadap kilang kelapa sawit yang menyebabkan pencemaran sungai, Sahruddin berkata, kebiasaannya kilang tersebut akan diarahkan tutup atau henti operasi selain dikenakan kompaun.

Menurutnya, terdapat lebih 60 kilang kelapa sawit berada di sepanjang sungai-sungai di negeri ini.

“Semua kilang kelapa sawit yang tidak mencapai standard tahap satu dan tahap dua memang kita tidak benarkan untuk beroperasi,” katanya.