10 superman tidur lokap

Polis menahan 10 penunggang motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya NKVE pada Ahad.
Polis menahan 10 penunggang motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya NKVE pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Aksi superman samseng jalanan di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), dekat sini mengundang padah selepas ditahan pada Ahad.

Operasi Khas Samseng Jalanan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula jam 12.40 tengah malam itu menahan 10 penunggang motosikal.

Menurut sumber, tangkapan pertama membabitkan empat penunggang berusia 17 hingga 20 tahun selepas dikesan melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kesas.

"Aksi yang dilakukan adalah meniarap dengan meluruskan kaki ke belakang (superman), bersaing sesama sendiri serta zig-zag," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sumber berkata, sementara itu tangkapan seterusnya telah menahan enam lagi penunggang berusia lingkungan 15 hingga 23 tahun secara berasingan.

Katanya, enam penunggang terbabit turut dikesan melakukan aksi samseng jalanan seperti 'superman' dan zig-zag.

Tambah sumber, kesemua motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha Y15ZR, Honda Wave, Honda RS150 dan Yamaha LC 135 yang digunakan disita untuk tindakan lanjut.

"Empat penunggang telah dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan manakala enam lagi dibawa dan BSPT IPD Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya.