SPRM pantau kes rasuah di sempadan Kelantan

Ramli (lima, kanan) bersama sebahagian peserta kesedaran menolak rasuah.
A
A

KOTA BHARU - Isu penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan melibatkan aktiviti di sempadan Kelantan akan ditangani dengan lebih serius bagi mengelak ia berleluasa.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Ramli Ismail berkata, pihaknya sentiasa fokus menjalankan tanggungjawab sebagai badan berintegriti dengan melihat isu baharu melibatkan kepentingan awam di negeri ini.

“Kita akan fokus isu di sempadan, apa masalah penduduk di sempadan yang melibatkan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

“Kerana saya percaya, kita ada tiga pintu masuk ke negeri ini, kalau isu rasuah ini tidak dikekang di sempadan negara ia akan memberikan kesan lebih negatif. Kita berusaha tanganinya,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program Walkabout Perdana Hari Anti Rasuah peringkat Kelantan di Kolej Politech Mara Lembah Sireh yang melibatkan 200 penyertaan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Kelantan, Rostam Abu Hassan, Penolong Pengarah Pencegahan SPRM Kelantan, Hamisah Salleh dan Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Kelantan, Mohd Nizam Ismail.

Mengulas lanjut perkara itu, Ramli berkata, SPRM tidak meletakkan kes tersebut berlaku secara berleluasa tetapi penduduk dan pihak berkuasa di sempadan terdedah serta mempunyai ruang dengan kegiatan sebegitu.

“Saya tidak kata berleluasa tetapi (rasuah) ini boleh berleluasa. Ada individu yang datang memberikan maklumat. Sebab rasuah ini kita kena faham ia melibatkan situasi menang-menang. Dapat habuan dan dapat perlindungan,” katanya.