Maszlee usaha martabat bahasa Melayu di PBB

Maszlee (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.
Maszlee (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada masa akan datang.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ketika ini bahasa Inggeris yang memiliki kerangka standardnya yang tersendiri iaitu The Common European Framework of References for Language (CEFR) merupakan antara enam bahasa rasmi yang digunakan di pertubuhan berkenaan.

Katanya lagi, pembinaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KBSM) yang dibangunkan oleh pakar-pakar bahasa di negara ini bakal menjadi pengikat kepada kesepakatan dan jati diri penutur dalam konteks budaya dan aspirasi bahasa.

"KPM akan menjadi peneraju utama dalam memastikan penghasilan kerangka ini dibantu oleh pakar-pakar dan agensi berkaitan.

"Kerangka ini amat penting bagi memastikan bahasa Melayu bersifat saintifik dan tekal serta menjadi rujukan utama dunia dan kelak ia menjadi salah satu bahasa rasmi di PBB," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2018 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, malam tadi.

Menurutnya lagi, hasrat untuk melihat bahasa Melayu digunakan di PBB tidak mustahil dicapai jika mempunyai tekad yang tinggi.

"Sifat dan ciri bahasa Melayu yang fleksibel iaitu mudah untuk menerima perubahan zaman merupakan ciri bahasa ilmu yang relevan dengan peredaran zaman.

Artikel Berkaitan:

"Sifat fleksibel itu merupakan salah satu kekuatan bahasa Melayu untuk berkembang seiring dengan bahasa-bahasa lain di dunia dalam mengharungi gelombang Revolusi Perindustrian Keempat," katanya.

Sementara itu, dalam pertandingan berkenaan menyaksikan 9 peserta daripada 8 negara layak ke pusingan akhir.